Tajuk: Larangan Bersifat ‘Ujub’ Menurut Ajaran Islam

PENGERTIAN UJUB
Yang dimaksudkan dengan ujub ialah “Merasa terheran-heran atau taajub terhadap dirinya sendiri, yang dinilainnya pada dirinya ada sesuatu kelebihan’’. 

Sifat, sikap dan perasaan takabur, tinggi hati, sombong atau ‘arogan’ ini merupakan satu rangkaian dengan sifat ‘ujub’ atau heran diri. Dan kerana merasa bahawa dirinya “lebih’’ hebat dibandingkan denga orang lain disekitarnya, maka ia menolak kebesaran, kebaikan dan kebenaran orang lain. Dan lebih dari itu, dengan sikapnya yang sombong ia dengan mudahnya bersikap menghina, memicingkan mata serta meremehkan terhadap orang lain yang ada disekitarnya. Di samping itu, ia akan merasa sakit hati, benci kalau suatu ketika ia melihat ada seseorang yang dinilainya lebih hebat daripada dirinya. 

PANDANGAN ISLAM
Sifat Yang Maha Besar hanya semata-mata dimiliki dan hak tunggal Allah sahaja. Oleh kerana itu kalau seseorang berusaha akan membesar-besarkan dirinya, hakikatnya secara tidak langsung ia berusaha untuk menyamai atau bahkan merebut hak tumggal yang dimiliki Allah. Sikap seperti ini sama sekali tidak dibenarkan oleh Allah, dan kalau ia tetap berusaha untuk mendapatkannya, ia akan diharamkan memasuki taman syurga-NyASebaliknya ia akan dicampakkan ka dalam neraka yang meluluh lantakkan serta sangat menghinakan dirinya. 

UJUB DAN SOMBONG
Kaum Muslimin takut pada ujub dan sombong. Dengan sekuat tenaga mereka melepaskan diri dari kedua sifat tersebut dalam berbagai hal, kerana kedua sifat tersebut merupakan penghalang terbesar untuk mencapai kesempurnaan. Maka banyak sekali nikmat berubah menjadi azab kerana ujub dan sombong itu. Dan berapa banyak orang mulia menjadi hina dan yang kuat menjadi lemah kerana dua perangai tersebut. Maka kedua sifat itu merupakan penyakit yang berbahaya dan dapat menyebabkan bencana bagi orang yang melakukannya. Oleh kerana itu kaum Muslimin takut dan berusaha menghindarinya. Hal itu disebabkan kerana Qur’an dan sunnah mengharamkannya dan menyuruh agar menjauhinya. 

Allah berfirman: “…dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong, sehingga datanglah ketetapan Allah. Dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (setan) yang amat penipu…. ’’(al-Hadid[57]:14) 

Dan firman Allah: ”Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu yang Maha Pemurah. ’’ (al-Infitar [82]:6) 

Kemudian firman Allah: “…Tetapi di peperangan Hunain di waktu kamu menjadi congkak kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikt pun…”(at-Taubah [9] :25) 

Rasulullah bersabda : “Ada tiga hal yang membinasakan, iaitu meratanya sifat kikir, hawa nafsu yang diperturutkan dan seseorang kagum atas dirinya. ” (Tabrani dan lain-lain, hadis daif). 

Dan sabda Nabi s. aw. : “Jika kamu melihat kekikiran diikuti orang, hawa nafsu diperturutkan orang dan tiap orang kagum dengan pendapatnya, maka jagalah dirimu. ” (Abu Daud dan Tarmizi, hadis hasan). 

Kemudian sabda Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam. : “Orang pintar ialah orang yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekal sesudah mati. Dan orang bodoh ialah orang yang memperturutkan hawa nafsunya dan mengharapkan kepada Allah dengan berbagai harapan dan angan-angan”. (Bukhari) 

UJUB (HERAN PADA DIRI SENDIRI)
Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. bersabda : “Jikalau engkau sudah melihat adanya sifat kikir yang diikut-ikutkan (oleh sebagian besar umat manusia), hanya nafsu telah dijadikan penuntun yang dipatuhi, keduniaan (benda, harta dan kesenangan duniawi) sudah menjadi pilihan yang lebih diutamakan (daripada masalah keakhiratan) dan setiap orang yang mempunyai pendapat sudah merasa bangga dengan pendapatnya sendiri (yakni merasa heran pada kepandaian peribadiaannya, sehingga tidak suka menerima hasil pemikiran orang lain), maka di saat itu hendaklah engkau menjaga dirimu baik-baik. ” (Riwayat Tarmizi)

 Semua yang disebutkan di atas itu adalah penyakit-penyakit yang apabila sudah terdapat, atau telah merajalela dalam kalangan sesuatu umat, maka dalam masyarakat ramai dan hubungan bekerjasama, bergotong-royong pasti terganggu dan mungkin tidak akan harmonis dan serasi antara sesamaa umat manusia. Masing-masing orang akan mementingkan dirinya sendiri, sifat tolong-menolong lenyap dan persatuan serta kesatuan bangsa tidak akan dicapai, bahkan berjama’ah atau sikap kekeluargaan antara sesama agama, sekolompok dengan kelompok lain mustahil dapat digalang. Oleh sebab itu Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. menganjurkan, malahan menghimbau dengan sangat, agar lebih baik beruzlah, atau menyendiri saja. Padahal apabila kita meneliti beberapa Hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. kita akan menemukan beberapa anjuran di dalamnya yang berhubung dengan kemanfaatan yang dapat dipperoleh daripada hal berjama’ah, bersatu dan saling tenggang rasa antara sesama umat, khususnya yang seagama, adanya kerukunan dan tidak saling bermusuhan, juga tolong-menolong dalam kebaikan yang seluruhnya itu hanya dapat dicapai dengan jalan adanya hubungan yang erat antara sesama umat manusia. 

Ujub itu manakala sudah berjangkit pada seseorang lalu orang tadi merasa senang dan rela dalam mengikuti hawa nafsunnya, maka kerelaannya itu akan menumbuhkan berbagai macam cabang yang berupa kelengahan, dan kurang berhati-hati dalam melakukan segala sesuatu, yakni tanpa memikirkan apakah itubaik ataukah buruk. Pada umumnya kesemberonoan itu mengenai sifat-sifat yang ada di dalam hati. Selain itu banyak pula penyakit yang akan diderita, yakni penyakit-penyakit yang bercongkol dalam jiwa, seperti tertipu oleh perasaannya sendiri iaitu bahawa hanya dirinya sajalah yang memiliki sesuatu yang terbaik, terindah dan lebih terpuji dan dengan adanya sifat ini, lalu suka sekali memberikan perasaan yang berupa hal-hal yang menyakitkan orang lain, baik pada tubuh orang tadi atupun hatinya, seperti menghina, menganggap rendah dan memperkirakan bahawa orang selain dirinya masih belum sempurna atau kurang dalam cara berfikir dan bertindak. Begitu pula mengaku-akukan bahawa ia telah memiliki darjat dan kedudukan yang tertinggi di kalangan khalayak ramai. 

Demikianlah apabila seseorang yang bersifat ujub itu jikalau dengannya itu ia lalu gembira dan rela untuk mengikuti hawa nafsu, maka akibatnya pasti akhlaknya pasti rosak binasa, padahal tidak siapa sebenarnya dirinya itu. Oleh kerana itu Ibnu ‘Atha’illah Iskandari mengibaratkan, atau menyimpulkan bahawa rela pada diri sendiri, yakni sifat ujub adalah sebagai pokok pangkal segala macam bencana dan malapetaka. Beliau berkata :

 “Pokok pangkal segala kemaksiatan, kealpaan dan kesyahwatan itu ialah rela pada diri sendiri (sebab sudah merasa paling tinggi daripada orang lain) dan pokok pangkal segala ketaatan, kesedaran (yakni tidak alpa dan lalai) serta ‘iffah (yakni menahan diri dari segala keburukan) ialah tidak adanya kerelaan pada diri sendiri. Manakala anda bersahabat dengan seorang bodoh yang tidak merasa rela pada diri sendiri, maka hal itu adalah lebih baik daripada bersahabat dengan sorang alim (yakni pandai dan cerdik cendikiawan) yang bersifat rela pada diri sendiri. Ilmu pengetahuan manakah yang dapat bermanfaat bagi seorang alim yang rela pada diri sendiri dan kebodohan apakah yang dimiliki oleh seorang bodoh yang tidak rela pada dirinya sendiri”. 

 Rela pada diri sendiri itu dapat diucapkan dengan kata lain ialah ujub. Kebalikannya ialah tidak rela pada diri sendiri, ialah tidak bersifat ujub. Orang ujub selalu merasa bahawa dirinyalah yang tetinggi. Maka seorang alim yang bersifat demikian tidak dapat disebut alim yang sebenarnya, kerana jikalau ia seorang alim yang memang mengetahui pasti tidak akan besifat demikian dan oleh sebab ujubnya itu lebih baik tidak kita jadikan sahabat. 

Sebaliknya orang bodoh yang tidak bersifat ujub, senantiasa ingin bertanya apa pun yang tidak diketahui olehnya, dan oleh sebab itu sebaiknya kita jadikan sahabat dan kalau bertanya, hendaknya dijawab dengan sopan dan tanpa menghinakan kebodohannya. Orang bodoh yang demikian halnya pada akhirnya dapat menjadi orang pandai, kerana suka bertanya dan benar-benar ingin mengetahui. mana yang benar dan mana yang salah dalam segala hal yang sedang dihadapinya. 

Mengenai kikir, cinta keduniaan, dan mengikuti hawa nafsu dalam hal bahaya terhadap kehidupan bermasyarakat sudah banyak disebutkan dalam beberapa nas Al-Quran dan Hadis. Agaknya kita pun telah memakluminya. Maka dari situ setiap orang Islam hendaklah menyelamatkan dirinya masing-masing ari semua penyakit batin tersebut. Selanjutnya perlulah dilakukan cara-cara untuk menjaga hati dan jiwa dengan pasti, dan dengan sendirinya akan meriupakan permulaan dari latihan kesucian jiwa. 

BEBERAPA CONTOH MENGENAI UJUB DAN SOMBONG

a. Iblis menyombongkan dirinya kerana hal ehwal dan asal kejadian dirinya. Ia berkata : Engkau jadikan aku dari api dan manusia dari tanah. Maka Allah mengusir iblis dari rahmat-Nya. 
b. Kaum ‘Ad menyombongkan diri kerana kekuatan dan kekuasaannya. Mereka berkata : Siapa yang lebih kuat daripada kami. Maka Allah mengazab mereka dengan kehinaan di dunia dan di akhirat. 
c. Nabi Sulaiman lalai kepada Allah dan kepada Nabi Muhammad. Sulaiman berkata : Aku meniduri seratus orang perempuan dalam semalam. Tiap perempuan akan melahirkan seorang anak yang akan berjihad di jalan Allah. Nabi Sulaiman lalai tidak menyatakan insya Allah. Maka Allah mengharamkan dia untuk memperoleh anak. 
d. Para sahabat Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. merasa bangga dengan banyaknya pasukan di waktu perang Hunain. Mereka berkata : Hari ini kami tidak akan kalah oleh musuh yang sedikit. Lalu mereka ditimpa kekalahan yang pahit, hingga bumi yang luas itu terasa sempit oleh mereka. Kemudian mereka lari dengan bercerai-berai. 

HAKIKAT UJUB DAN BATASANNYA

Lebih dulu yang penting kita maklumi ialah bahawasanya ujub itu hanyalah terjadi kerana adanya suatu sifat tertentu, iaitu merasa dirinya sudah sempurna. Hal sedemikian ini sudah dapat dipastikan. Bagi seorang alim tentu saja mereka adanya kesempurnaan dalam hal ilmu pengetahuannya, amal serta keadaan peribadinya, sedang bagi orang yang bukan termasuk alim ialah adanya dua keadaan, iaitu :

Pertama :Seseorang yang takut akan kehilangan apa yang telah dimiliki yang diperkirakan telah cukup sempurna dalam dirinya, juga sangat sayang jikalau ia menjadi bersedih hati kalau ditinggalkan olehnya, atau kalau sampai dicabut dari pokoknya, atau keasliannya yang disebabkan oleh tingkah lakunya sendiri. Orang semacam ini bukannya manusia yang bersifat ujub. 

Kedua :Seseorang yang tidak takut jikalau yang dimiliki itu hilang lenyap, bahkan ia menjadi gembira jikalau hal itu terjadi, sebab ia mengerti secara persis bahawasanya apa yang dimiliki itu semuanya berasal dari kenikmatan Allah Ta’ala. Jadi sama sekali ia idak mempunyai keyakinan bahawa miliknya itu bersasal dari hasil kerjanya sendiri. Nah, orang yang semacam ini pun bukan manusia yang bersifat ujub. 

Ketiga :Maksudnya ialah bahawasanya masih ada manusia yang tetap dalam keadaan ujub. Orang itu tidak takut akan kehilangan apa yang dibangga-banggakan, bahkan ia gembira apabila yang demikian itu terjadi, juga tenang dan tenteram hatinya jikalau sifat itu tetap dalam genggaman tangannya. Hanya saja kegembiraan dan ketenangan hatinya tadi dikiranya sebagai kesempurnaan, kenikmatan, kebaikan serta ketinggian pangkat dan kedudukan mulia yang diraihnya dari usahanya sendiri, dan bukan kerana sesuatu yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala, atau kenikmatan yang dilimpahkan kepadanya. Jadi secara ringkas dianggapnya perkara itu dari usaha yang dicarinya sendiri dengan kesunggguhan dan kegiatan yang dilakukan, dan sama sekali tidak merupakan kasih sayang Allah Ta’ala kepadanya. Andaikata ia meyakinkan dalam kalbunya, bahawa semua yang dimilikinya itu adalah pemberian Allah Ta’ala yang mana dalam saat kapan pun yang dikehendakiNya dapat ditarik kembali, maka sifat ujubnya pasti lenyap dri daam dirinya. Tetapi oleh sebab tidak mengakui hal itu, maka timbullah sifat ujub dari diri dan hatinya. Demikianlah hal ehwal ujub yang sebenarnya. Maka dari itu dapatlah kita simpulkan bahawasanya ujub itu ialah menganggap besar dan bernilai tinggi pada kenikmatan yang dipunyai, namun enggan menyatakan bahawa apa yang sudah menjadi miliknya berasal dari Dzat yang Maha Pemberi kenikmatan. 

 Selanjutnya yang kita perlu maklumi ialah apabila seseorang itu merasa mempunyai hak di sisi Allah Ta’ala dan dengan demikian berhak untuk memperoleh segala macam kenikmatan yang diinginkan dan bahawa ia merasa mempunyai tempat atau kedudukan yang baik sebagai kekasih Allah Ta’ala dan bahwa apa yang dipunyai itu merupakan karamah, atau kemuliaan untuk dirnya, sekalipun hanya sedikit bekerja, juga pasti terjauh dari apa yang tidak disenangi da tidak disukai, sebagaimana rasa terjauhnya dari hal-hal yang tidak disukai yang biasanya ditimpakan ke atas orang-orang fasik yang berkelakuan tidak pantas atau kerana kekurangan akal lalu berbuat kemaksiatan, maka …maka perasaan hati yang sedemikian itu menumbuhkan idlal kerana amalan yang dikerjakan. Idlal, maksudnya ialah mempertunjukkan atau mempertontonkan sesuatu yang dilakukan dan diamalkan. Tujuan idlal itu adalah mengharapkan sesuatu yang lebih banyak daripada yang sudah diberikan. Jadi orang yang sedemikian itu meyakinkan bahawa ia boleh dan bahkan perlu menunjukkan amalannya yang berupa apa pun, dan hal itu memang diredhai oleh Allah Ta’ala. Orang tadi kadang-kadang memberikan sesuatu kepada orang lain, namun ia melakukan itu dengan rasa bangga, dan tidak melakukannya sekiranya tidak ada yang hendak memuji perbuatannya, malahan adakalanya yang disertai dengan menyakitkan hati orang yang diberi, khususnya dengan lisan seakan-akan meremehkan atau menghinakannya. Oleh sebab sikapnya itu yakni tidak dapat dipuji dan mengagung-agungkan pemberiannnya, maka ia dapat disebut orang yang ujub. Jikalau hal itu hanya dipergunakan untuk sesuatu yang diinginkan atau mempunyai rencana yang ia sendiri dapat memaklumi, ataupun merasa akan terjauh ketinggalannya dalam melaksanakan apa-apa yang menjadi haknya, maka orang yang semacam itru dapat dikatakan sebagai manusia yang beridlal atau mempertontonkan amalannya. 

 Qatadah memberikan penafsiran pada firman Allah yang berbunyi :

“janganlah kamu memberi sebab ingin mendapatkan sesuatu yang lebih baynyak “ (Al-Muddatstsir :6) 

Munurut Qatadah : Maksudnya ialah janganlah berbuat idlal sebab amalan yang kamu lakukan. Idlal itu tentu terjadi sesudah adanya ujub, maka dari itu tiada seorang pun yang bersifat idlal melainkan ia pasti manusia yang bersifat ujub. Namun kadang-kadang orang yang ujub tidak suka melakukan idlal, sebab ujub itu beerti menganggap besar pada sesuatu yang dimiliki dan melainkan kenikmatan atau enggan memberikan kesenangan pada orang lain, apabila tidak ada harapan akan diberi balasan yang lebih besar atau setidak-tidaknya yang sama nilainya dengan apa yang diberikan. Jadi idlal itu tidak akan sempurna atau tidak akan terjadi jikalau tidak disertai pembalasan yang diinginkan. Jikalau seseorang itu sudah merasa patut dikabulkan permohonannya, yakni doanya mesti diijabahi dan dalam batinnya ia mengingkari kalau doanya sampai boleh ditolak oleh AAllah Ta’ala, malahan merasa ujub sebab terkabulnya doa tadi, maka orang semacam itu dapat dikatogorikan manusia yang beridlal dengan amalannya. Manusia yang sedemikian itu agaknya tidak heran kalau ada orang fasik ditolak doanya, sebaliknya malahan heran manakala doanya sendiri ditolak, yakni tidak dikabulkan. Inilah bentuk ujub yang diiringi oleh idlal dan yang sedemikian itu adalah merupakan permulaan sifat takabur dan itu pulalah sebab-sebabnya. Wallahu Ta’ala A’lam, yakni Allah Yang Maha Luhur jualah yang leih mengetahui segala persoalan. 

PENAWAR SIFAT UJUB SECARA KESELURUHAN
Hendaklah anda ketahui dulu bahawasanya pengubatan suatu penyakit itu, yang terpenting sekali ialah melawan dan menentang sebab dari penyakit tadi, iaitu dengan apa yang menjadi kebalikan atau lawannya. Yang menyebabkan tumbuhnya penyakit ujub itu ialah kebodohan semata-mata, jadi untuk mengubatinya ialah perlu adanya kemakrifan serta pengertian yang merupalkan lawan diri kebodohan tadi. Dengan cara ini saja sebenarnya telah cukup. Marilah kita umpamakan ujub itu terjadinya kerana perbuatan yang dikeranakan usaha seseorang, semacan ibadat, bersedekah, berperang, memberikan kesedaran kepada khalayak ramai dan memperbaiki akhlak mereka maka sebenarnya ujub dengan hal-hal tersebut di atas itu lebih banyak dan seringkali terjadi daripada berujub dengan menunjukkan kegantengan, kecantikan, keindahan bentuk dan rupa, kekuatan, keturunan dan apa pun yang tidak termasuk dalam usahanya sendiri dan tidak mengerti bahawa dirinya adalah memiliki hal tadi. 

 Selanjutnya kami hendak mengatakan apa-apa yang berkaitan denan masalah di atas sebagai berikut :

 Kita katakana : Sifat kewara’an yakni sangat berhati-hati dalam melaksanakan oerintah agama dan sifat taqwa, yakni patuh mengerjakan semua yang diredhai Allah dan menjauhi yang dimurkaiNya, juga beribadat dan beramal yang kerap disentuh oleh sifat ujub itu … cuba ia perhatikan apakah ia sampai berujub kerana memang ia tempat berujub dan jalannya mesti berujub, ataupun kerana ia sengaja melahirkan ujub itu dengan kehendaknya dan untuk mempamerkan kekuasaannya dan kebolehannya agar dapat dilihat oleh khalayak ramai. Maka jikalau ia berujub itu secara terpaksa, kerana memang caranya begitu dilakukan dan bukan dipura-purakan untuk dilihat khalayak ramai, maka tidak mengapalah, sebab memang itu cara dan jalannya. Kalau sebaliknya, maka ternyatalah iaitu suatu kebodohan. Sebab semua sifat-sifat yang ada pada dirinya itu adalah dari kurnia Allah Ta’ala dan ketentuanNya, yang mana ia tiada campur tangan dalam pengwujudan dan penghasilannya, jadi bagaimana sampai ia berujub dengan sesuatu yang bukan miliknya sendiri?

Selanjutnya apabila ia merasa ujub kerana semua yang dapat dikerjakan itu adalah dari sebab dirinya sendiri dan kemahuannya dan perbuatan itu berlaku dengan pilihannya sendiri dan telah sempurna dengan sebab kekuasaannya sendiri dan kalau sudah sampai begitu sekali pemikirannya, maka hendaklah ia memerhati dan menilai semua kekuasaan, kemahuan yang ada pada dirinya, segala anggotanya dan seluruh sebab-musabab yang dengannya telah sempurna semua perbuatannya……dari manakah semua itu datangnya, apakah ia telah berada dengan sendirinya, apakah dia yang mengadakannya sendiri?Tentulah tiada ragu lagi, semua itu adalah merupakan nikmat dan pemberian Allah Ta’ala kepadanya, tanpa ada haknya sendiri sebelum itu dan tanpa adanya perantaraan yang mengajak dan mempermudahkan untuk meraih semua itu. 

Dengan keyakinan tersebut, sebaiknya semua makhluk iu mengakui bahawa kalaupun hendak berujub juga maka seluruhnya itu adalah disebabkan kerana kedermawan serta keutamaan Allah azzawajalla saja. Memang Allah Ta’ala itu adalah Maha Kuasa dan Maha Mulia. Jadi sewajarnya tidaklah patut kita mempunyai suatu keyakinan yang bertentangan dengan yang demikian itu. Tentu saja, sebab setiap orang itu harus menyandarkan segala sesuatu itu kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Kalau bertentangan juga, maka yang demikian itu bererti menyalahgunakan sesuatu tidaak pada tempatnya. Ia mengaku apa yang bukan menjadi haknya dan lebih mementingkan melebihi yang lain-lain, padahal anugerah Tuhan itu dilimpahlan kepadanya tanpa ada sebab yang mendahului atau ada wasilah yakni perantaraan. 

Manakala anda berbuat ujub sebab amal ibadat anda, lalu anda mengatakan bahawa Allah telah mengurniakan pertolongan kepadaku untuk dapat mngerjakan ibadat dengan sebaik-baiknya itu, adalah kerana kecintaanku padaNya. Kemudian bagaimana kalau ada orang yang bertanya dan mengatakan : Siapakah yang menjadikan adanya kecintaan dalam hati anda itu? Selanjutnya anda tentu menjawab : Tentu saja Dzat yang Maha Pencipta, yakni Allah Ta’ala ! Maka pada saat itu aka nada orang yang berkata pula : Ingatlah bahawasanya terjadilah kecintaan dan berlakunya ibadat yang baik itu semata-mata merupakan kenikmatan yang dianugerahkan olehNya kepada anda. Keduanya bermula dari sebab adanya pemberian Allah saja, bukan sebab kerana anda mempunyai hak pada kedua tersebut, tidak ada perantaraan dan bahkan tidak ada kaitan atau hubungannya dengan hasil karya anda sendiri. Oleh kerananya, maka jikalau hendak berujub pun, hendaknya berujub dengan kedermawan Allah Subhanahu wa ta’ala, sebab Allah jualah yang melimpahkan kenikmatan yang berupa ada dan lahirnya anda di dunia ini, bukan? Demikian pula kenikmatan yang berupa adanya sifat-sifat yang baik pada diri anda itu, juga amalan-amalan anda dan sebab-sebabnya, maka kerana itu anda dapat melakukannya. Allah Subhanahu wa ta’ala telah berfirman dalam Al-Quran iaitu : 

“Jikalau tidaklah kerana kemuliaan Allah serta kasih sayangNya kepadamu semua, maka untuk selama-lamanya tidaklah ada orang pun di antara kamu semua yang suci jiwanya(lagi bersih hatinya dan jauh kelakuannya dari segala kemaksiatan), tetapi Allah mensucikan orang-orang yang dikehendaki olehNya, dan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ” (An-Nur :21) 

BAHAGIAN-BAHAGIAN UJUB DAN PERINCIAN PENYEMBUHANNYA

PERTAMA: Orang yang berujub dengan tubuhnya, misalnya mengenai kegantangan, kecantikan, olah dan tingkah atau dengan kekuatan yang belum ada orang yang mengatasi atau mengalahkan. Juga ujub disebabkan oleh persesuaian bentuk badan seperti tinggi, perkasa, gagah bagi lelaki atau tampan yang mempersona, indah dan ramping tetapi sedap dipandangan bagi orang perempuan, pula kerana merasa keindahan suara dalam menyanyi atau mengaji, berdeklamasi dan berpantun. Pendek kata dalam hal-hal yang berkaitan dengan keadaan tubuh, atau salah satu dari anggota tubuh. Orang yang berujub itu agaknya lalai dan terlupa dan sama sekali, bahawa apa yang dimiliki tersebut seluruhnya adalah kerana yang dilimpahkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. kepadanya tanpa diminta dan tentu saja kenikmatan itu akan dianugerahkan kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya. 

KEDUA :Merasa dirinya perkasa dan kuat. Hal ini sebagaimana keadaan kaum ‘Ad yang berkata dan diberitakan oleh Allah Ta’ala dalam kitab sucinNya, yakni Al-Quran, iaitu firmanNya meniru ucapan mereka :

“Siapakah yang lebih kuat daripada kita ini?” (Fushshilat :15)

Ada kalanya seorang mukmin juga mengandalkan kekuatan tubuhnya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Nabi Sulaiman AS., bahawa beliau AS. pernah berkata :

“Pada malam ini, sungguh-sungguh aku hendak mengelilingi semua isteriku yang banyaknya seratus orang itu. Beliau AS. tidak mengucapkan Insyaallah Ta’ala (ertinya: Jika Allah Ta’ala menghendaki akan mengurnia akan anak dari setiap isterinya). Maka Nabi Sulaiman terhalanglah kehendaknya untuk memperoleh anak (yakni tidak mendapat seorang anak pun. ” (Riwayat Bukhari)

Ujub sebab memiliki kekuatan itu menyebabkan kesukaan dan kegemaran untuk menyerbu dalam peperangan, merosakkan diri dengan sebab senang bergulat dan berkelahi, cepat-ccepat ingin memukul atau membunuh orang yang disangka akan berbuat buruk pada dirinya. Untuk mengubatinya sehingga sembuh betul-betul, ialah dengan mengingat bahawa kalau tubuhnya sehari saja diserang oleh demam atau panas badan, pasti akan melemahkan tubuhnya dan melenyapkan kekuatannya. Lagi pula jikalau Allah menghendaki pasti akan dicabutlah kekuatannya dengan sebab adanya bencana yang tidak bererti, tetapi bagi manusia sangat melumpuhkan. Ini mungkin saja akan dilaksanakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala., jikalau kenikmatan yang berupa kekuatan dan keperkasaan itu dipergunakan untuk sesuatu yang tidak pada tempatnya dan dikeranakan rasa ujubnya sewaktu memiliki kenikmatan tersebut. Allah Ta’ala pasti akan menunjukkan kekuasaanNya pada orang yang berujub itu kerana kesalahan manusia itu sendiri. 

KETIGA : Ujub dengan akal fikiran, kecerdikan, kecerdasan untuk menjelaskan hal-hal yang pelik lagi rumit, baik dari masalah-masalah yang berkaitan dengan kemaslahatan agama dan dunia, juga keakhiratan, sedang buahnya ialah istibdad, atau memenangkan pendapat peribadi sendiri, meninggalkan kemusyawaratan, serta menganggap bodoh kepada orang yang tidak setuju atau tidak sependapat dengannya dan pula kurang atau tidak memperhatikan sama sekali kepada para ahli dalam ilmu pengetahuan, baik pun yang berhubungan dengan keagamaan atau keduniaan. Orang yang sudah bersifat istibdad itu sengaja menolak pendapat para ahli ilmu tersebut, sebab merasa tidak membutuhkan sedikit pun dengan akal fikiran serta pendapat orang lain dan mrendahkan serta menghinakan pendapat yang tidak cocok dengan kehendaknya. 

Adapun jalan menyembuhkan, ialah ia wajib bersyukur kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. yang telah mengurniakan akal yang baik, juga kecerdasan otak dan kepandaian yang melebihi orang banyak. Selain itu ia wajib berfikir dalam-dalam bahawa andaikata ia diserang oleh penyakit yang ringan saja dan mengenai otaknya, pasti ia akan merasa tergoda dan mungkin terjadi manusia sinting, dan tidak lagi berakal sihat bahkan ia sendiri akan tertawa terbahak-bahak tanpa sebab yang beerti. Oleh sebab itu hendaklah ia dengan keyakinan yang mantap bahawa ia tidak akan aman dari hal-hal seperti menjangkitnya penyakit yang seringa apa pun, namun dapat merobah akal sihatnya menjadi akal yang berpenyakit. Ia wajib ingatt pula bagaimana jikalau Allah dengan mendadak sontak mencabut akal baiknya, apabila akal tadi dipergunakan untuk sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan, seperti dipakai untuk ujub dan tidak bersyukur dengan kurnia yang amat tinggi itu. 

KEEMPAT :Ujub dengan nasab atau keturunan yang mulia dan terhormat, sehingga ada sebagian dari golongan itu yang merasa dengan keturunan mulia tadi golongannya sudah pasti selamat dari siksa Allah Ta’ala, khususnya di akhirat nanti. Juga akan selamat nenek moyangnya yang tentu akan diampuni dosa-dosanya, sekalipun bagaimana jyga amal perbuatannya. Mereka ada pula yang berkhayal bahawa seluruh makhluk di alam dunia ini adalah hamba dan budak yang dapat mereka perintah kemana tujuan pun yang mereka inginkan. Begitulah sebagian besar sangkaan mereka, bahkan ada yang meyakinkan sedemikian itu. 

Adapun cara mengubatinya ialah orang yang berujub itu hendaklah mengerti dan memahami benar-benar, bahawasanya sekalipun ia menyalahi nenek moyangnya dalam semua perbuatan dan akhlaknya atau mencocoki mereka, maka hal itu tidak ada ertinya sedikit pun, dan yang akan diperhitungkan oleh Allah azzawajalla di akhirat pada har kiamat nanti adalah amal perbuatannya sendiri. Manakala orang yang berujub itu menyangka akan dapat dikumpulkan dan dipertemukan dengan nenek moyangnya yang berkelakuan baik, sedang ia sendiri berkelakuan buruk,. maka betul-betul ia sudah menjadi manusia yang amat bodoh dan amat keterlaluan sangkaan yang keliru tadi. Sebaliknya kalau orang yang ujub itu hendak mencontoh nenek moyang, maka diantara akhlak mereka itu ialah tidak ada rasa ujub sekecil biji sawi pun dakam kalbu mereka, namun yang ada ialah rasa khauf, yakni takut dan segan kepada Allah Ta’ala, serta mencela dirinya sendiri, lebih-lebih lagi jikalau apa yang dilakukan itu adalah bertentangan dengan ajaran agama yang dipeluknya. 

PENUTUP
Secara kesimpulannya, Islam melarang sifat ujub dalam diri seseorang kerana dapat mendatangkan kemudaratan pada diri dan kesihatan. Oleh itu marilah kita bersama-sama mendekatkan diri kita kepada Allah agar dapat terhindar daripada sifat ujub. Maka dari itu marilah kita semua memohonkan petunjuk kepada Allah Ta’ala akan yang benar selalu, juga selamat dari kekhilafan dan kesalahan serta kesesatan. Juga marilah kita semua memohonkan perlindungan kepadaNya dari segala macam tipuan dan rayuan yang menyesatkan, sebagaimana angan-angan yang dipunyai oleh manusia-manusia yang bodoh dan kurang atau tidak mengerti kedudukan agama dalam bermasyarakat. 

RUJUKAN

1. Abu Bakar Jabir Al Jazairi. (1996). Pedoman Hidup Muslim: Kuala Lumpur: Victory Agencie
2. Dr Akim Riddha. (2005). Hikmah Meninggalkan Dusta Dan Benci: Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise
3. H. Salim Bahreisy. (1996). Petunjuk ke jalan lurus. Kuala Lumpur: Victory Agencie. 
4. Muhammad, A. Q. (2004). 50 Wasiat Rasulullah saw Untuk Generasi Islam. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise. 
5. Said Hawwa. (1992). Induk persucian diri. Singapura: Kerjaya printing industries pte ltd. 



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com