Tajuk: Kepentingan Ilmu Dalam Ajaran Islam

PENDAHULUAN

Ilmu diungkapkan Al-Quran dan Al-Hadis iaitu al-Quran kitab hidayah yang mengandungi di dalamnya soal-soal akidah, akhlak, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Ianya merupakan mukjizat Allah, hujah-hujahnya berkekalan sepanjang zaman, dibawa oleh Rasul al Amin, kata- kata nasihat yang berkesan, dalil-dalilnya tidak dapat disanggah oleh otak manusia, ayat-ayatnya sentiasa menyinari alam semesta.

Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam yang ertinya : “Di dalam Al-Quran ada cerita-cerita yang terdahulu dan ada cerita-cerita yang terkemudian, al-Quran menjadi hakim, al-Quran sebagai penyelesaian dan bukan sebagai penghalang. ” Selain dari al-Quran terdapat satu lagi sumber rujukan dalam Islam iaitu al-Hadis. al-Hadisialah

“segala ucapan Nabi, segala perbuatannya dan keadaannya. ” (Pengakuan yang menunjukkan boleh atau tidak). Termasuk dalam pengertian keadaan ialah segala yang diriwayatkan dalam bentuk sejarah, seperti hal keputeraannya, tempatnya dan segala yang berkaitan dengannya.

DEFINISI ILMU
Manusia amat memerlukan ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu manusia tidak dapat membangun dan menyambung elangsungan hidup seperti mana yang diharapkan. Justeru ilmu amat mustahak untuk manusia.

Ilmu dalam perspektif sarjana barat merupakan pengetahuan yang dapat diperolehi melalui pengalaman, perolehan maklumat secara dapatan empiric dan bagaimana manusia memikirkan tentang sesuatu melalui kaedah tertentu. Dengan pengetahuan ini manusia dapat meneroka dan mengeksploitasikan alam ini.

Para ilmuan Islam mempunyai pandangan tersendiri mengenai ilmu. Menurut Rosenthal, umatislam banyak memberi sumbangan kepada dunia ilmu, terdapat 107 perkataan yang berhubung dengan konsep ilmu telah diterangkan. Mengikut Prof. Dr. Othman Bakar. “Ilmu adalah kalimah Allah yang pengertiannya amat luas, hanya Allah sahaja yang mengetahui”

KEWAJIPAN MENUNTUT ILMU
Dalam mana-mana tamadun pun belum pernah kita temui dengan orang-orang yang menafikan kepentingan ilmu dalam kehidupan. Nabi Adam diajar oleh Allah dengan nama-nama (ilmu) menyebabkan Malaikat terpesona dengan kebolehan Adam, justeru itu mereka mengaku memang Adamlah yang layak menjadi khalifah di muka bumi ini. Bermula dari zaman Nabi Adam hingga kini manusia berlumba-lumba mencari ilmu. Ada hadis menyebut,

 Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam

Maksudnya : “ Sesiapa yang inginkan kebahagiaan di dunia hendaklah berilmu, siapa yang ingin kebahagiaan di akhirat maka hendaklah berilmu dan siapa yang hendak kedua-duanya sekali hendaklah juga dengan ilmu. ”

Baginda juga menyarankan agar manusia mencari ilmu kerana manusia dilahirkan tanpa ilmu.

Firman Allah dalam surah An Nahl; Ayat 78 Ertinya : “ Sesungguhnya Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu (bayi) dalam keadaan tidak mengetahui apa pun, kemudian Dia melengkapkan kamu alat pendengaran, penglihatan dan hati semoga kamu bersyukur. “

Manusia dilahirkan tanpa ilmu dan amat sedikit ilmu yang dimiliki. Oleh kerana itutanyalah kepada orang yang tahu (guru) mengenai sesuatu perkara sekiranya ia tidak mengetahui atau ragui, agar jawapan yang betul dan tepat diperolehi.

Anak lelaki dan perempuan hendaklah dididik sejak kecil lagi agar mereka membiasakan diri dengan menyintai ilmu dan menjadi ilmuan (alim) dan untuk menjadi alim(bijak) mestilah sanggup menanggung risiko samada masa, hartabenda dan hijrah meninggalkan kampong halaman, dan ini telah ditegaskan oleh rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam dalam sebuah Hadis.

Maksudnya; “Tuntutlah ilmu walau ke Negeri China”.

Maksud negeri China itu ialah antara negeri Arab dengan negeri tersebut dan pelajar hendaklah berani meninggalkan kediaman dan sanggup menghadapi rintangan sebelum sampai ke destinasi. Kalaulah ke Negeri China yang jauh pun dicadangkan oleh Baginda, apatah lagi di barat dan kawasan yang berdekatan, tentulah disyorkan.

Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam bukan sahaja meminta kita menuntut ilmu fardu ain malah fardu kifayah juga diberi penekanan misalnya ilmu bersukan, berperang dan bahasa asing. Supaya dapat mengelakkan diri dari tipu daya dan dapat mengenali budaya bangsa lain. Mengikut sejarah bahawa pada permulaan kerajaan Islam di Madinah, Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam menyuruh Zaid bin Thabit mempelajari bahasa yahudi dan Rasulullah sendiri menhantar satu pasukan yang terdiri daripada sahabat ke satu tempat yang terkenal dengan industry senjata supaya mereka mempelajarinya.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam : Maksudya: “Barang siapa mempelajari bahasa sesuatu kaum, (bangsa) terselamatlah dari tipu daya mereka. ”

Dalam bidang sukan dan perang, Baginda Sallallahu ‘alaih wa sallam menyarankan agar anak-anak diajar renang dan melontar lembing.

Ilmu yang diperolehi itu kurang berkesan kecuali dibudayakan dalam kehidupan seharian. Ilmu yang dituntut, disebar, diamal, dihayati, difahami, diguna untuk kebaikan dan mengenal Allah.

KELEBIHAN ILMU
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ilmu dan orang berilmu itu banyak kelebihannya. Antaranya diangkat darjat mereka di dunia dan di akhirat.

Firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11

Maksudnya : “Wahai orang yang beriman, apabila diminta kepada kamu memberi lapang daripada tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan untuk kamu, dan apabila kamu diminta bangun, maka bangunlah, supaya Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu beberapa darjat, dan Allah amat dalam pengetahuanNya. ”

Darjat dan martabat yang dikurniakan Allah hanya kepada orang yang berilmu dan beriman. Ilmu tanpa iman hanya mendapat martabat di dunia sahajASedangkan di akhirat tidak ada penilaian di sisi Allah. Manusia semakin banyak ilmu pengetahuan semakin dekatnya dirinya kepada penciptanya.

Kemuliaan kelebihan dan ketinggian orang berilmu dapat dilihat dengan pengiktirafan Allah dan Malaikat melalui firmanNya dalam surah Ali-Imran ayat 18

Maksudya: Allah bersaksi sesungguhnya Tiada Tuhan melainkan Dia, dan Malaikat-Malaikat mengakui dan orang-orang yang berilmu yang tegak dengan keadilan”.

Sebagai anak Adam yang menyintai ilmu bukan sahaja dipakaikan oleh Allah dengan pakaian menutup badan tetapi dipakaikan dengan pakaian taqwa.

Firman Allah dalam surat al-A’raf ayat 26

Maksudnya : “Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah terunkan kepadamu pakaian yang menutup anggota kelaminmu dan perhiasan dan pakaian ketaqwaan”.

Yang dimaksudkan dengan pakaian itu ialah malu. Mempunyai ilmu dan perasaan malu merupakan satu nikmat besar anugerah Allah kepada hambaNya. Manusia yang tidak mempunyai ilmu dan malu akan sanggup berbuat apa sahaja, walaupun terpaksa mengorbankan kemanusiaannya.

Orang yang berilmu bukan sahaja takut kepada Allah tetapi amat bijak menngunakan akal dan mahir berfikir, setiap perkataan atau tingkahlaku yang akan terbit darinya, dikupas masak-masak oleh akal.

Mengenai mahir berfikir firman Allah ayat 71 surah al-Qasas:

Maksudnya :”Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tutup selama-lamanya hingga ke hari Qiamat, Tuhan manakah lagi selain Allah yang dapat membawa cahaya yang terang kepada kamu. Maka mengapa kamu tidak mahu menerima kebenaran”.

Hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam amat banyak menerangkan tentang ilmu pengetahuan dan kelebihannya. Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam pernah menyebut bahawa ulamak (orang berilmu) itu pewaris Nabi.

Memang diakui bahawa Nabi itu manusia biasa, mereka hidup, makan minum dan berakhir dengan wafat. Mereka hanya tinggalkan kitab Allah. Kitab yang penuh dengan ilmu ini perlu disebarluaskan kepada umat manusia, dan orang yang pertama dan utama memainkan peranan ialah ulamak. Tanpa mereka semua ajaran-ajaran Nabi akan terhenti dan manusia kembali kepada syirik.

PENGHALANG ILMU
Ilmu itu cahaya yang boleh memandu manusia ke arah kebenaran. Orang berilmu, bermakna telah mendapat cahaya kebenaran Allah. Allah meletakkan kedudukan mereka yang berilmu setanding dengan para malaikat sebagaimana firman Allah dalam surah al-Imran ayat 18

Maksudnya: “Allah telah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia. Begitu pula para malaikat dan para ahli ilmu pengetahuan turut menyaksikan semua, iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan”.

Taqwa kepada Allah merupakan kemuncak pendekatan makhluk kepada khaliq. Untuk menjadi taqwa mesti berilmu dan untuk sampai ke tahap tersebut manusia terpaksa menempuh berbagai rintangan dan halangan.

Abu A’la Al-maududi mengumpakan ketaqwaan dan kebaikan itu seperti air, ingatlah bahawa air tidak akan dapat menghilangkan dahaga orang yang dahaga. Kalau sekiranya pendahaga itu hanya meraung “Air, air aku dahaga”, tanpa pergi mencari air dan meminumnya. Begitu juga beliau mengumpamakan ketaqwaan, kebaikan dan kemuliaan itu seperti ubat, ingatlah ubat tidak akan berfungsi dalam badan pesakit kalau hanya pesakit ke klinik tetapi tidak memakan ubat dan menjaga pantang.

Tidak menjaga pantang larang itulah yang menjadi penghalang kepada kemajuan dan kesuburan ilmu. Penghalang dan rintangan tersebut amat banyak dan mencabar, apatah lagi di zaman moden yang penuh dengan kecelaruaan ini.

Halangan semasa menuntut ilmu terbahagi kepada dua bahagian terbesar iaitu dalaman dan luaran :

HALANGAN DALAMAN
Iaitu sesuatu yang dicetuskan oleh individu itu sendiri, ianya tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi tetap berperanan sebagai penghalang utama, khususnya semasa menuntut ilmu.

Antara musuh luaran ialah:-
1. Hawa Nafsu
Manusia adalah makhluk termulia berbanding makhluk lain. Manusia dikurniakan akal fikiran dan nafsu. Binatang hanya mempunyai nafsu sahaja tanpa akal, manakala Malaikat pula hanya berakal tanpa nafsu. Nafsu yang tidak dikawal oleh akal menyebabkan manusia sanggup melakukan kejahatan dan kemaksiatan kerana naluri nafsu sentiasa mendorong kepada kejahatan. Firman Allah dalam surah Yusof ayat 53.

Maksudnya : “Sesungguhnya nafsu itu mendorong kepada kejahatan”.

Manusia memelukan nafsu, seperti nafsu makan, nafsu seks dan lain-lain, tetapi, biarlah ia dikawal oleh akal yang waras yang dinaungi oleh ilmu pengetahuan.

Ahli bijak pandai mengumpamakan nafsu sebagai kuda dan manusia sebagai penunggang, kuda akan dapat digunakan dengan baik sekiranya dilatih dan diajar dengan baik, tetapi kalau dilepas bebas kuda tadi akan menyusahkan penunggang.

2. Iblis dan syaitan
Iblis dan syaitan musuh manusia sejak Nabi Adam AS lagi. Mereka menyusup ke dalam badan manusia mengikut saluran darah. Ini diterangkan oleh Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam melalui hadis.

Maksudnya : “syaitan berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut darah”. Riwayat abul laits.

Permusuhan Iblis dan syaitan terhadap manusia akan berlanjutan sehingga hari kiamat. Teknik yang digunakan oleh mereka dalam usaha menyesatkan manusia dengan cara mencantikkan perkara mungkar dan menghodohkan perkara ma’ruf.

Seorang Hukamak berkata syaitan boleh menembusi anak Adam melalui sepuluh jalan.
i. Apabila seseorang itu bersifat rakus dan buruk sangka.
ii. Apabila panjang angan-angan.
iii. Apabila ingin berehat dan melupai nikmat
iv. Apabila bangga diri (ujub)
v. Apabila mereka meremehkan kawan-kawan.
vi. Apabila ada perasaan hasad dengki.
vii. Apabila ada perasaan riak.
viii. Apabila ada perasaan bakhil.
ix. Apabila ada perasaan sombong.
x. Apabila ada perasaan tamak.

3. Melakukan perkara keji dan mungkar
Perkara keji dan mungkar dilarang oleh Allah, seperti berjudi, minum arak, berzina, mencuri, riak, takbur, hasad dengki dan lain-lain sifat mazmumah. Sifat keji dan mungkar merupakan dosa seumpama titik-titik hitam melekat di hati, manakala ilmu pengetahuan pula seumpama cahaya (nur) dan cahaya tidak akan melekat pada hati manusia yang durhaka kepada Allah. Imam Syafie pernah memberitahu melalui syaernya:
Maksudnya :“ilmu itu cahaya. Cahaya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada pendurhaka”.

HALANGAN LUARAN
1. Rakan sebaya yang buruk perangai.
Rakan sebaya adalah pendorong kepada seseorang samada ke arah kebaikan atau sebaliknya. Justeru itu rakan yang berakhlak buruk akan menjadi egen kepada hawa nafsu, iblis dan syaitan, dan lain-lain musuh.
2. Masyarakat
Sebenarnya rakan sebaya tadi sebahagian daripada anggota masyarakat, mereka berkembang dari individu kepada kelompok, dari kelompok kepada masyarakat, dan akan terbantut kelancaran pengembangan ilmu seandainya masyarakat tidak menyediakan suasana yang boleh membantu kepada pengembangan ilmu.
3. Keluarga
Maksud keluarga ialah ibubapa, abang, adik, kakak dan saudara-mara, mereka ini khususnya ibubapa memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi anak- samada positif atau negatif. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam
Maksudnya; “setiap anak dilahirkan mengikut fitrah. Maka, ibubapalah yang menjadikan yahudi atau nasrani atau majusi”.
Ini diakui oleh semua pengkaji kerana sejak dilahirkan di dunia, anak-anak lebih banyak berkomunikasi dengan keluarga berbanding orang luar. Kalaulah keluarga itu negatif terhadap ilmu pengetahuan, maka akan terhalanglah perkembangan ilmu kepada individu tersebut.

PENUTUP
Ilmu adalah perkara asas yang diperlukan oleh semua, ia membezakan manusia dengan makhluk lain, juga membezakan antara manusia dengan manusia. Ilmu mewatakkan manusia mengikut ilmunya. Ilmu meningkat keyakinan diri, mengangkat martabat insan, boleh melakukan pelbagai perubahan, merupakan sumber kebahagiaan seseorang, dan menjadi wasilah atau jalan mendekatkan diri kepada tuhan.

Said Almusaiyab meriwayatkan bahawa, Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda :  Maksudnya : “sebaik-baik amalan di muka bumi ini ada tiga iaitu menuntut ilmu, berjihad dan berusaha kerana menuntut ilmu itu kekasih Allah, berjihad itu wali Allah dan berusaha bersungguh itu taqwa kepada Allah”.

Ketiga-tiga amalan tersebut amat baik, berusaha bersungguh-sungguh dapat meneguhkan ekonomi, berjihad dapat mempertahankan maruah Negara, bangsa, dan agama. Manakala, menuntut ilmu dapat memberi garis panduan kepada berusaha dan berjihad. Justeru, itulah saranan menuntut ilmu diutamakan.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com