Tajuk: Keimanan Kepada Takdir Qada’ Dan Qadar

PENDAHULUAN

Antara rukun iman itu adalah beriman kepada qada’ dan qadar. Semua perkara baik dan jahat, manqadakis dan pahit berlaku dengan kehendak dan ketentuan daripada Allah yang Maha Bijaksana dan Adil dalam segala ciptaan. 

Kewajipan beriman kepada qada’ dan qadar disebut dalam Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad, di antara kata-kata Allah dalam Surah Ali Imran ayat 26 yang bermaksud: “Katakanlah wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, engkau memberi kerajaan kepada sesiapa yang engkau kehendaki dan engkau mencabut kerajaan daripada sesiapa yang engkau kehendaki, engkau muliakan sesiapa yang engkau kehendaki dan engkau hinakan sesiapa yang engkau kehendaki, di tangan engkau segala kebaikan, sesungguhnya engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. ”

Hadis-hadis Nabi Muhammad ada menyebut, Umar bin al-Khattab melaporkan Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya iman itu ialah beriman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari Akhirat dan kamu beriman pada qadar baik dan jahat. ”
Selain itu, Jabir bin Abdullah melaporkan, Nabi Muhammad berkata, 

“Tidak beriman seseorang itu sehingga dia beriman kepada qadar takdir baik dan jahat dan sehingga dia tahu dengan yakin apa yang ditakdirkan kepadanya tidak sekali-kali menyimpang daripadanya dan apa-apa yang ditakdirkan menyimpang daripadanya tidak sekali-kali mengenainya. ”

PENGERTIAN QADA’ DAN QADAR

Menurut Imam Abu Hasan al-Asyaari dan majoriti ahli sunnah, qada’ bermaksud kehendak Allah pada azali (sedia kala) yang bergantung pada sesuatu dan menepati dengan apa yang diadakan. Qadar pula bermaksud sesuatu menurut yang ditentukan oleh qada’nya alam keadaan, sifat, masa, kedudukan dan sebab. 

Sesetengah pakar mendefinisikan qada’ itu sama sahaja dengan qadar. Oleh itu, disebut qadar sahaja iaitu peraturan yang diputuskan oleh Allah bagi mengadakan sesuatu serta peraturan-peraturan umum dan perjalanan mengikut sebab-sebab yang telah ditentukan. Apabila ditanya kepada Imam Ahmad, apakah yang dikatakan qadar itu?Beliau menjawab, “Qadar itu ialah kuasa Tuhan yang bernama Rahman (Maha Pemurah). ”

Beriman kepada qada’ dan qadar itu dibina atas kepercayaan kepada sifat-sifat Allah dalam Asma ul-Husna, antaranya adalah ilmu, kudrat dan iradat. Allah menyatakan di dalam Al-Quran di dalam Surah al-Baqarah ayat 29 yang membawa maksud, 

“Dan dia Maha Mengetahui segala sesuatu. ”

Juga dalam Surah al-Hadid ayat 2 yang bermaksud, 

“Dan dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. ”

Di dalam Surah al-Buruj ayat 16 yang bermaksud, 

“Dia Maha Berkuasa membuat menurut kehendaknya. ”

Jelas, maksud beriman kepada qadar ialah percaya pada ilmu Allah yang qadim (sedia) dan percaya pada kehendaknya yang mesti berlaku selari dengannya. 

Beriman kepada qadar terbahagi kepada dua perkara:

1. Beriman bahawa Allah mengetahui apa sahaja amalan hambanya dan mengetahui dengan ilmu yang qadim yang menjadi sifatnya. Dia mengetahui segala keadaan hambanya merangkumi taat dan derhaka, rezeki dan ajal, kemudian ditulis pada Luh Mahfuzapa yang berlaku sehingga hari Akhirat. Apa yang ditakdirkan kepada seseorang, tidak boleh dielak lagi. Apa yang ditakdirkan tidak berlaku kepadanya, tidak akan terjadi sama sekali. 

Perkara ini dinyatakan oleh Allah melalui surah al-Haj ayat 70 yang bermaksud, 

“Apakah kamu tidak mengetahui sesungguhnya Allah mengetahui apa sahaja yang ada di langit dan di bumi, yang demikian itu terdapat dalam kitab (Luh Mahfuz) sesungguhnya ia amat mudah bagi Allah. ”

2. Beriman kepada kehendak Allah dan percaya kepada apa yang dikehendaki dan yang tidak dikehendakinyASesungguhnya apa yang ada di langit dan di bumi sama ada yang bergerak atau diam semuanya berlaku dengan kehendak Allah, tidak berlaku jika tidak dengan kehendaknya dan sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa kepada segala yang ada dan yang tiada. 

Semua makhluk yang ada di bumi dan di langit, hanya Allah yang menciptanya. Tiada pencipta selainnya, tiada Tuhan yang mempunyai sifat-sifat itu melainkan dia sahaja. Dia yang memerintahkan hambanya supaya taat kepadanya dan kepada rasul-rasulnya dan melarang mereka daripada derhaka kepada Tuhannya. Allah kasih kepada orang yang bertakwa, baik dan adil, redha kepada orang-orang yang beriman, beramal soleh tetapi tidak redha kepada orang-orang yang kafir dan fasik, serta tidak mengasihi mereka. Dia tidak menyuruh kepada kufur dan keburukan, tidak redha berlaku kufur kepada hambanya, tidak suka berlakukejahatan kepada mereka. Manusia itu sendiri yang melakukan perbuatan, beramal dengan kuasa yang ada pada mereka dengan kehendak mereka. Allah mencipta mereka dan menciptakan kuasa dan kehendak yang ada pada mereka. 

Allah menyebut dalam Surah al-Saffat ayat 96 yang bermaksud, “Dan Allah mencipta kamu dan apa yang kamu lakukan. ”

Allah juga menyebut dalam Surah al-Zumar ayat 7 yang bermaksud, “Dan dia tidak redha kekufuran kepada hamba-hambanya dan jika kamu bersyukur, dia redha kepada kamu. ”

Allah ada menyebut dalam Surah al-Fussilat ayat 40 yang bermaksud, “Beramallah kamu menurut apa yang kamu kehendaki sesungguhnya dia mahu melihat terhadap apa yang kamu amalkan itu. ”

BERIMAN KEPADA QADA’ ALLAH DAN QADAR-NYA

Beriman kepada qada’ Allah dan qadar-Nya adalah salah satu daripada rukun-rukun aqidah dan ia adalah rukun yang keenam daripada rukun-rukun iman. Mereka yang tidak percaya kepada qada’ dan qadar (takdir Allah) adalah bermakna mereka itu telah keluar daripada agama Allah Azza Wajalla (agama Islam). 

Dalam hadis yang sahih menyebutkan Umar al-Khattab meriwayatkan pada satu ketika sewaktu Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. duduk bersama-sama sahabatnya, tiba-tiba datang seorang lelaki yang berpakaian serba putih, rambutnya sangat hitam – tidak diketahui dari mana datangnya, dan tidak seorang sahabat pun yang kenal kepada lelaki itu, lalu lelaki tadi bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. berhubung dengan Islam, Iman dan Ihsan. 

Mengenai iman lelaki itu berkata: “Beritahulah kepadaku tentang hal keimanan. ” Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. terus menjawab:

“Hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan beriman kepada qadar (takdir Allah), baik dan buruknya. Lelaki itu lalu berkata: “Benarlah apa yang engkau kata itu. ” (H. R Muslim)

Lelaki yang datang itu adalah Jibril, di mana ia memang sengaja datang kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. yang sedang duduk-duduk bersama-sama sahabatnya untuk mengajar umat Baginda secara soal jawab mengenai Islam, Iman dan Ihsan. 

Beriman kepada qada’ dan qadar adalah kepercayaan atau aqidah yang wajib ditanamkan dalam hati setiap orang muslim dan mu’min bahawa setiap perkara yang berlaku dan terjadi ke atas diri seseorang itu, baik atau buruknya adalah mengikut ketentuan dan ketetapan yang telah dibuat oleh Allah Taala dengan ilmu dan iradat-Nya sendiri sebelum sesuatu perkara itu berlaku dan terjadi. 

QADA’ DAN QADAR DALAM AQIDAH ISLAM

Qada’ bererti ketetapan. Dan qadar bererti takdir (nasib atau untung). Dalam aqidah Islam, qada’ dan qadar ialah ketetapan Tuhan di dalam Azali tentang nasib atau untung seseorang manusia itu apakah mereka akan masuk dalam firqah orang yang beruntung atau orang yang celaka sa’adah atau syaqawah. 

Dalam aqidah Islam, mempercayai qada’ dan qadar adalah salah satu daripada rukun aqidah, di mana masalah “qada’ dan qadar” ini dibicarakan secara meluas dan mendalam oleh semua agama Samawi. Ahli Sunnah Wal Jamaah percaya kepada takdir. Mereka beriktikad bahawa semua perkara yang berlaku dan yang terjadi di alam yang maujud ini sudah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Taala dalam Azali sebelum sesuatu itu berlaku dan terjadi, di mana semuanya itu sudah ditulis lebih dahulu dalam Luh Mahfuz. 

Tegasnya, mengikut iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, semua perkara yang sudah berlaku dan terjadi dan akan berlaku dan akan terjadi di alam dunia ini sudah diketahui oleh Allah Subhanahu wa ta’ala.. Iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah tersebut adalah berhujah dan berdalilkan nas-nas berikut:

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga (yang menimpa) diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannyASesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ”(Surah al-Hadid : 22)

Firman Allah Taala tersebut memberi pengertian yang jelas apa sahaja perkara yang berlaku dan terjadi di dunia ini, termasuk bala bencana yang menimpa diri seseorang itu, semuanya sudah ditakdirkan Allah lebih dahulu dan telah dituliskan dalam Luh Mahfuz sebelum bala bencana itu berlaku dan terjadi. 

Menurut Ibn Abbas: Yang dimaksudkan ‘kitab’ dalam ayat tersebut ialah Luh Mahfuz. Ibn Abbas berkata:

“Tatkala Allah menjadikan kalam, maka ia berkata: Tulislah! Lalu kalam itu menuliskan apa yang akan terjadi sampai hari kiamat. ”(Al-Qurtubi: 17/258)

Semua yang berlaku dan yang terjadi sudah ditakdirkan Allah lebih dahulu, dan sudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz. Itulah yang dinamakan qada’ dan qadar atau takdir Allah Subhanahu wa ta’ala.. 

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan), maka apabila tempohnya, tidaklah dapat mereka kemudiankan walau sesaat pun, dan tidak pula dapat mereka dahulukan. ”(Surah al-A’raaf: 34)

Firman Allah Taala ini adalah bermaksud setiap umat dan setiap manusia sudah ditentukan Allah ajalnya, bila mereka akan mati. Kalau sudah datang ajal yang ditentukan Allah itu, maka ia mesti mati, tidak seorang pun yang dapat mendahului ajal itu. Inilah yang dinamakan ‘takdir Allah’. 

Firman Allah Taala yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami (sesuatu pun) melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pengawal yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal. ”(Surah at-Taubah : 51)

Firman Allah Taala ini menyatakan sesuatu nasib yang menimpa manusia sudah ditakdirkan oleh Allah sebelumnya, tidak dapat lagi seseorang itu mengelakkan diri mereka daripada takdir Allah itu. Oleh yang demikian, setiap orang yang beriman hendaklah menyerahkan diri mereka kepada Allah Taala dan menerima dengan kerelaan hati segala yang ditakdirkan oleh Allah. 

Qurtubi mentafsirkan ayat ini yang bermaksud: “Tiap-tiap suatu adalah dengan qada’ dan qadar. ” (Tafsir Qurtubi : 13/160)

BAHAGIAN-BAHAGIAN TAKDIR

Takdir mempunyai beberapa bahagian, pertama adalah takdir dalam ilmu Allah yang azali. Ia bermaksud Allah mengetahui segala-galanya sebelum ia benar-benar berlaku. Takdir dalam bentuk ini tidak dapat dan tidak mungkin berubah secara mutlak. Sekiranya ia berubah ia mencacatkan kesempurnaan Allah dan hal ini adalah mustahil di sisi Allah. Allah menyatakan yang bermaksud:

“Keputusan di sisi aku tidak berubah dan aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaku. ”(Surah Qaf ayat 29). 

Takdir ini dikenali sebagai qada’ mubram atau takdir yang pasti dan mengingkarinya menyebabkan seseorang menjadi kafir mengikut ijmak ulama. 

Takdir yang kedua adalah takdir yang tertulis di Luh Mahfuz dan ia dikenali juga sebagai takdir mu’allaq. Takdir ini berubah dari semasa ke semasa, sebagai contoh apabila seseorang ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun. Ataupun sekiranya seseorang ditulis memasuki neraka kemudian di hujung hidupnya, beliau bertaubat dan melakukan amal salih dengan ikhlas, berkemungkinan beliau akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Allah menyatakan yang bermaksud, 

“Allah menghapuskan apa yang dikehendaki dan menetapkan apa yang dia kehendaki dan di sisinya terdapat Ummul Kitab. ” (Surah ar-Ra’d ayat 39)

Luh Mahfuz, mengikut pendapat yang hak, menerima penghapusan dan penetapan. Antara perkara yang dapat mengubah ketetapan di Luh Mahfuz adalah doa dan amalan yang baik, berdasarkan hadis nabi, “Tiada yang dapat menolak takdir selain doa dan tiada yang dapat memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik. ” (H. R Tarmizi)

Justeru itu, Umar al-Khattab pada suatu masa, melafazkan doa-doa ini semasa bertawaf, “Ya Allah, sekiranya engkau mentakdirkan aku tergolong dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku dalam keadaan aku. Sebaliknya sekiranya engkau tetapkan aku dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskan takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan. ”

TAKDIR DAN USAHA

Mempercayai ‘takdir Allah’ dan ‘usaha’ makhluk tidak mempunyai perkaitan. Takdir Allah adalah suatu ketetapan dan ketentuan Allah ke atas setiap makhluk, dan usaha pula adalah perbuatan makhluk yang dikurniakan Allah kepada mereka mengikut kadar kemampuan dan kelayakan diri mereka masing-masing. 

Terhadap Allah, di mana usaha seseorang itu tidak ada perkaitannya dengan iktikad dan kepercayaan. Oleh itu, setiap orang yang beriman wajib percaya kepada qada’ dan qadar Allah yang menjadi salah satu dari rukun iman yang keenam. 

Mengenai berusaha untuk mencari rezeki dan kehidupan di dunia ini, dan beramal ibadat untuk bekalan di akhirat nanti adalah perintah dan suruhan Allah dan rasul-Nya kepada umat manusia seluruhnya, di mana perintah dan suruhan tersebut adalah berkaitan dengan kewajipan seseorang manusia selaku hamba Allah mendengar dan mematuhi perintah Allah dan rasul-Nya, bukan berkaitan dengan iktikad dan kepercayaan. 

Apabila seseorang itu diperintah dan disuruh oleh Allah dan rasul-Nya berusaha mencari rezeki untuk hidup dan kehidupan di dunia ini, dan beramal ibadat untuk bekalan akhirat kelak, maka wajib bagi mereka dengan hati yang ikhlas untuk melaksanakan perintah dan suruhan itu dengan penuh ketaatan. 

Setiap orang beriman wajib mempercayai bahawa berusaha dan beramal ibadat bukan melawan takdir Allah, malah perkara itu adalah juga termasuk dalam takdir Allah. Seseorang yang taat dan beramal salih sudah ditakdirkan Allah, mereka akan menjadi orang yang taat dan orang yang salih. Jika seseorang itu mengerjakan perbuatan maksiat adalah juga takdir Allah, iaitu mereka sudah ditakdirkan Allah mengerjakan perbuatan maksiat itu. 

Mereka yang sudah ditakdirkan Allah akan masuk syurga ditakdirkan-Nya pula menjadi orang yang taat dan beramal salih di dunia ini. Sebaliknya, mereka yang ditakdirkan Allah akan masuk neraka ditakdirkan-Nya pula menjadi orang yang mengerjakan maksiat di dunia ini. 

Berhubung dengan masalah takdir Allah, Saidina Umar bin al-Khattab, sahabat Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. dan khalifah Islam yang kedua, ketika beliau pergi ke Syam secara kebetulan di suatu kampung yang dilaluinya sedang diserang oleh penyakit taun, lalu beliau bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya. 

Sebahagian besar sahabat-sahabatnya berpendapat lebih baik tidak masuk ke kampung yang sedang diserang oleh penyakit taun itu, kecuali sahabatnya Abu Ubaidah bin al-Jarrah r. a. : Abu Ubaidah berkata, “Adakah engkau (wahai Umar) hendak lari dari takdir Allah?” Saidina Umar menjawab, “Ya, aku lari daripada takdir Allah dengan takdir Allah kepada takdir Allah. ” Saidina Umar menyambung jawapannya itu: “Sepatutnya engkau wahai Abu Ubaidah tidak seharusnya berkata sedemikian. ” Dan ketika itulah datang sahabat Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam. Abdul Rahman bin Auf meriwayatkan hadis Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam. :

“Apabila kamu sudah berada di negeri yang sedang diserang penyakit taun, maka janganlah kamu keluar dari kampung itu. Dan apabila kamu belum masuk ke kampung itu, maka janganlah kamu masuk ke dalam kampung. ”

Saidina Umar r. a. mengucapkan “Alhamdulillah”, kerana pendapat beliau sesuai dengan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. yang diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Auf tadi, dan sesuai juga dengan pendapat para sahabat-sahabatnya. 

Peristiwa ini memberi pengertian yang jelas, walaupun semua perkara yang akan berlaku ke atas diri seseorang itu sudah ditakdirkan Allah, tetapi setiap manusia disuruh dan diperintah oleh Allah dan rasul-Nya berusaha dan beramal ibadat, tanpa menunggu takdir sahaja, kerana takdir itu adalah Allah Taala yang menetapkan dan menentukannya, di mana manusia adalah wajib taat melaksanakan suruhan dan perintah Allah dan rasul-Nya serta dengan senang hati menerima takdir Allah yang diutuskan kepada mereka. 

KEDUDUKAN QADA’ DAN QADAR

Allah Subhanahu wa ta’ala. telah mengetahui segala apa yang akan berlaku di dunia dan di akhirat tidak ada sesuatu perkara yang tersembunyi di sisi Allah yang tidak diketahui-Nya, malah semuanya adalah di bawah pengetahuan-Nya, sekalipun perkara itu belum berlaku lagi. 

Allah Taala yang Maha Mengetahui telah tersedia ada di bawah pengetahuan-Nya sesuatu perkara yang telah ditentukan dan ditetapkan di dalam Azali umur seseorang itu sekian lamanya, dan rezekinya sekian banyaknya dan sebagainya. 

Ini ialah kerana Allah Taala adalah Khaliq (pencipta) semua perkara yang ada di dalam dunia ini, dan Musawwir (pembentuk rupa), dan Qadir (berkuasa), dan ‘Alim (mengetahui) inilah yang dinamakan takdir. Firman Allah Azza Wajalla: “Dan Ia (Allah) amat mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ” (Surah al-Baqarah : 92)

Justeru itu, takdir Allah yang ada di dalam ilmu-Nya itu tidak berubah, dan tidak dapat diubah, atau ditukar ganti oleh sesiapa pun. Inilah dinamakan oleh ulama tauhid qadha’ Mubram (takdir Allah yang tidak dapat dielakkan dan pasti berlaku). Ini telah ditegaskan oleh Allah Azza Wajalla dalam firman-Nya: “Keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Ku. ” (Surah Qaf : 29) 

Takdir Allah yang tertulis pada Luh Mahfuz itu masih menerima perubahan, kerana ada takdir Allah yang tertulis di Luh Mahfuz tadi ada yang sudah putus, dan ada pula yang belum putus yang dinamakan takdir Mu’allaq, iaitu takdir yang masih bergantung. 

Firman Allah Taala tersebut dengan tegas menyatakan semua takdir Allah yang telah tertulis dalam Luh Mahfuz itu boleh dihapuskan Allah, jika ia menghendakinya, atau Ia tetapkan sahaja sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Penghapusan atau penetapan itu sesuai dengan ada pada ummul kitab (Ibu sekali kitab), iaitu ilmu Allah Taala yang Azali. 

Mengenai penghapusan dan penetapan tulisan yang ada pada ummul kitab itu telah dinyatakan oleh Imam Baijuri, seorang ulama tauhid dalam kitabnya, Tuhfah al-Murid Syarah Jauharah at-Tauhid : 95). 

“Ummul Kitab iaitu asal dari Luh Mahfuz, iaitu ilmu Allah yang tidak menerima penghapusan dan tidak menerima penetapan. Ada pun Luh Mahfuz sebenarnya menerima penghapusan dan penetapan. ”

Dalam masalah “qada’ dan qadar” tidak ada yang boleh mengubah apa yang telah tertulis dalam Luh Mahfuz itu, kecuali yang boleh mengubahnya doa dan amal kebajikan. Ini telah ditegaskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. dalam hadisnya:

“Tidak ada yang boleh menolakkan qada’ dan qadar, kecuali doa, dan tidak ada yang boleh memanjangkan umur, melainkan berbuat kebajikan. ” (Riwayat at-Tarmizi : Sahih at-Tarmizi)

Qada’ dan qadar yang sudah tertulis dalam Luh Mahfuz itu dapat juga diubah dengan menghubungkan rahim yang telah putus, di mana orang-orang yang menghubungkan rahim itu akan luas rezekinya, dan lambat sampai ajalnya. Ini telah ditegaskan olah Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. dalam hadisnya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r. a. :

“Sesiapa yang suka luas rezekinya dan lambat sampai ajalnya, hendaklah ia menghubungkan rahim. ” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini tidak berlawanan dengan firman Allah Taala dalam Surah an-Nahl ayat 61 yang bermaksud: “Maka apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun, dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan. ” (Surah an-Nahl : 61)

Menurut al-Imam al-Hafidz Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalaani, ajal yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah ajal yang ditakdirkan dalam ‘ilmu Allah’ yang tidak menerima perubahan, di mana ajal yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah ajal yang tertulis pada Luh Mahfuz, yang diketahui oleh malaikat yang masih menerima perubahan. 

BAIK DAN BURUK BERKENAAN QADA’ DAN QADAR

Sebutan baik dan jahat pada qada’ dan qadar itu disandarkan pada perbuatan manusia menurut usaha dan ikhtiar merekASemua yang dinisbah kepada Allah adalah baik kerana mustahil bagi Allah bersifat kekurangan seperti jahat dan zalim. Apa yang dimaksudkan jahat tidak sekali-kali termasuk dalam sifat Allah. Segala yang dicipta olehnya termasuk perbuatan jahat yang dipilih dan ikhtiar oleh hamba itu mengandungi hikmah dan tujuan baik yang banyak. 

Apabila ada ayat-ayat Al-Quran atau hadis Nabi Muhammad yang menyebut perbuatan jahat kepada Allah, ia bermaksud semua yang berlaku itu adalah dalam pengetahuan Allah tetapi dengan pilihan dan kehendak manusia itu sendiri. 

Allah menyebut dalam Surah al-Falak ayat 1 dan 2 yang bermaksud, “Katakanlah, aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai Subuh, daripada kejahatan yang diciptakan. ” Firman Allah menceritakan ucapan jin di dalam Surah al-Jin ayat 10 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang ada di bumi, atau Tuhan mereka mengkehendaki kebaikan bagi mereka. ”

Juga di dalam Surah az-Zumar ayat 62 yang bermaksud, “Allah menciptakan segala sesuatu. ”

Sekiranya manusia mencipta perbuatan dengan kehendaknya dan bukan dengan kehendak Allah, nescaya Allah tidak ada kuasa dalam perbuatan manusia. Mustahil ia berlaku kerana Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Berkehendak. Kita yang perlu menimbang dan memikirkan apakah perbuatan itu diredhai ataupun tidak. 

Perlu difahami, qada’ dan qadar itu berlaku kerana perkara-perkara berikut:

1. Kerana luasnya ilmu Allah yang meliputi perkara yang ada dan yang akan diadakan dan bagaimanakah keadaannya secara teliti dan betapa besarnya kekuasaan Allah yang tidak terhingga dan kehendaknya meliputi perkara yang tidak terhingga juga. Oleh itu, apa yang ia kehendaki mesti berlaku dan apa yang ia tidak kehendaki pasti tidak berlaku. 

2. Kerana semua perkara berada di bawah pemerintahan Allah. Ia tertakluk pada peraturan-peraturan yang ditentukan dan seluruhnya tunduk pada peraturan itu, sama ada di langit atau di bumi. Peraturan semula jadi mesti berlaku kerana ditentukan oleh Allah. Manusia dikurniakan kelebihan bagi memilih dan berikhtiar. 

MANUSIA TIDAK BOLEH LARI DARI TAKDIR ALLAH

Dalam kehidupan manusia seharian, mereka tidak boleh lari dari takdir Allah yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah kepada seseorang manusia itu. 

Dengan erti kata lain, seseorang manusia sepanjang hidupnya tertakluk di bawah takdir Allah yang Maha Esa dan Berkuasa, walaupun mereka berusaha dengan sedaya upaya untuk lari dari takdir Allah Taala itu. 

Ini ialah kerana sesuatu perkara yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah akan berlaku dan terjadi kepada diri seseorang itu, perkara itu tetap akan pasti berlaku dan terjadi. Sebaliknya, sesuatu perkara yang tidak ditentukan dan tidak ditetapkan Allah akan berlaku dan terjadi kepada diri seseorang, perkara itu tetap dan pasti tidak akan berlaku dan terjadi. Ini telah ditegaskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. dalam hadisnya yang diriwayatkan daripada Zaid bin Thabit r. a. :

“Dan hendaklah engkau yakin bahawa sesuatu bencana yang menimpa diri engkau bukanlah kerana Allah tersalah menimpakan bencana itu kepada engkau. Dan sesuatu bencana yang tidak menimpa diri engkau bukanlah kerana Allah tidak mahu menimpakan bencana itu kepada engkau. (Riwayat Abu Daud - Sunan Abu Daud : 4/225)

Hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. ini menegaskan sesuatu perkara yang berlaku dan terjadi kepada diri seseorang manusia itu sudah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Taala, sama ada perkara itu baik atau buruk. Inilah yang dikatakan takdir Ilahi, di mana seseorang itu tidak boleh lari daripada takdirnya. 

KEADAAN BERKAITAN DENGAN QADA’ DAN QADAR

Qada’ dan qadar yang berlaku pada peraturan-peraturan semula jadi seperti umur dan ajal, hujan dan kemarau atau perkara-perkara yang berlaku bukan dengan ikhtiar manusiASebagai contoh, tempat lahir dan mati, bangsa dan warna kulit, tinggi dan rendah, dipercayai oleh semua orang dan tidak menjadi pertelingkahan dan perbincangan hangat. 

Qada’ dan qadar berhubung dengan perbuatan manusia, yang dapat dipilih dan diusahakan sama ada baik ataupun jahat, iman ataupun kufur, Islam ataupun jahiliah, hangat dibincangkan di kalangan manusia sejak dahulu lagi. Ia bukan sahaja dibincangkan di kalangan umat Islam tetapi juga di kalangan orang-orang bukan Islam, ahli-ahli falsafah Greek, Rom, India dan China serta mereka yang sesat dalam perkara ini, sebagaimana juga sesat dalam perkara lain. Apa yang mendukacitakan pandangan-pandangan mereka termasuk dalam pemikiran beberapa orang Islam. Ia memberi peluang kepada musuh menyemarakkan api pertelingkahan dan berjaya memesongkan pemikiran mereka yang lemah pengajian dan fahamannya mengenai Islam. 

Qadariah dan Jabariah

Qadariah adalah golongan yang menafikan qada’ dan qadar dalam perbuatan secara pilihan. Menurut pendapat ini, manusia seolah-olah mampu memberi kesan pada perbuatannya, dengan kuasa yang diberi oleh Allah. Pendapat ini dibawa oleh golongan Muktazilah dan mereka dikenali sebagai Qadariah. 

Jabariah adalah golongan yang menolak adanya usaha dan ikhtiar yang ada pada manusiASemua perbuatan baik dan jahat daripada Allah. Manusia terpaksa akur dengan qada’ dan qadarnya. Mereka dikenali sebagai Jabariah. 

CARA MEMAHAMI QADA’ DAN QADAR

Qada’ dan qadar adalah ketetapan Allah yang ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmunya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang ditetapkan. Segala kejadian di dunia ini tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaannya yang tanpa batas dan ia menjadi hukum alam yang dikenali sebagai ‘hukum sebab musabab dan sebab akibat’. Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada’ dan qadar. 

Syed Sabiq di dalam kitabnya al-Aqaid al-Islamiyah berkata, “Imam al-Khathabi berkata, “Ramai orang mengira qada’ dan qadar sebagai pemaksaan Allah ke atas hambanya dan manusia hanya mengikut apa yang ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui berkaitan dengan kejadian yang berlaku berhubung semua perkara. ” “Pengetahuan Allah berkenaan sesuatu perkara tidak mempengaruhi kehendak hamba itu. ”

Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir. Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu dicipta dan ditetapkan oleh Allah kepada manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan takdir minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan takdir tidur. Justeru, apabila manusia memilih jalan kesesatan, sesat yang diperolehnya. Di dalam al-Asas fit Tafsir, as-Syeikh Said Hawa berkata, “Imam an-Nasafi berpendapat, apabila mereka (manusia) meninggalkan suruhan-suruhan Allah, suram cahaya iman daripada hati mereka. Demikian juga, apabila mereka memilih jalan kesesatan, Allah sesatkan hati-hati mereka. ”

Berhubung dengan perkara yang sama, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir Quran al-Azim berkata, “Apabila Allah menutup hati manusia daripada petunjuk ia adalah balasan yang setimpal dengan perbuatan manusia yang bergelumang dalam kesesatan dan meminggirkan kebenaran. Tindakan ini adil dan bukanlah suatu yang keji. ”

Kesemua ini menunjukkan Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia diberikan kebebasan bagi menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak dapat keluar daripada ruang kemanusiaan yang Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi sudah mengetahui segala keputusan yang diambil oleh manusia. 

QADA’ DAN QADAR MEMBAWA KEPADA KEUNGGULAN

Keimanan kepada qada’ dan qadar menjadikan umat Islam di peringkat awal dahulu unggul dan dihormati hingga ke hari ini. Hal ini disebabkan keimanan yang betul terhadap qada’ dan qadar melahirkan insan yang gigih berusaha dengan mengambil kira hukum sebab musabab. Mereka meyakini nasib mereka ditetapkan oleh Allah melalui ikhtiar yang mereka gerakkan. Allah menyatakan, “Bagi mereka ada habuan hasil daripada apa yang mereka usahakan. ” (Surah al-Baqarah : 202) 

Keyakinan kepada qada’ dan qadar juga melahirkan manusia yang bertanggungjawab. Sekiranya sesuatu pendekatan yang mereka ambil mendatangkan kegagalan, mereka bertanggungjawab di atas kegagalan itu dan berusaha memperbaiki keadaan. Allah menyatakan, 

“(Musa berkata) Wahai Tuhan, aku zalimi diriku sendiri. ” (Surah al-Qasas : 16)

Di samping itu, qada’ dan qadar merangsang manusia memilih jalan yang lurus dan yang diredhai Allah kerana mereka mengetahui Allah menetapkan pertolongan daripada sisinya di jalan-jalan itu. Sebagai contoh Allah menyatakan, 

“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, ditunjukkan kepadanya jalan keluar dan dicurahkan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. ” (Surah at-Talaq ayat 2-3)

Keimanan kepada qada’ dan qadar menjadikan seseorang cekal menerima ujian dan cabaran. Sekiranya sesuatu yang mereka usahakan itu gagal ataupun tidak menghasilkan sesuatu yang mereka harapkan, mereka tidak berputus asa kerana mereka mengetahui Allah mentakdirkan bagi setiap kejayaan cabaran dan cubaannya. Allah juga mentakdirkan kesenangan menyusuli kesusahan. 

NATIJAH YANG BAIK

Orang yang beriman kepada qada’ dan qadar sentiasa berikhtiar, berusaha dengan bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada Allah dengan penuh yakin. Dia yakin rezekinya adalah kurniaan Allah berdasarkan ilmu, kudrat dan iradat Allah. Tidak ada siapa yang dapat menghalang jika dikurniakan, tiada siapa yang dapat memberi apabila tidak dikehendaki oleh Allah. Kita tidak bergantung pada sebab-sebab makhluk yang lemah sahaja. 

Kita juga yakin ajal di sisi Allah, bukan makhluk. Ia membuahkan sifat gagah berani dalam menunaikan perjuangan menegakkan agama Allah. Sebaliknya mereka yang menyerah kalah dalam hidup kerana berdepan dengan sebab-sebab makhluk yang lemah adalah orang yang lemah imannya. 

Apabila manusia menyedari dirinya hamba dan kurniaan Allah itu tidak terhingga, mereka menjadi manusia yang bersyukur dengan kejayaannya kerana sedar kejayaan itu datang daripada Allah. Apabila ditimpa kegagalan atau kemalangan mereka bersabar kerana menyedari perkara itu adalah ujian Allah ke atasnya. Ia berlaku kerana kelemahan dan kecuaian diri sendiri dan Allah memberi pahala kepada orang-orang yang bersabar. 

Baik atau jahat dalam perkara qada’ dan qadar hanya mengikut pandangan kita, tetapi di sisi Allah semuanya baik. Kita perlu yakin semuanya baik kerana apa yang berlaku mempunyai tujuan seperti berikut:

Ibtila’ ialah Ujian

Ujian itu berlaku sama ada dalam bentuk nikmat ataupun bala bencana Allah menyatakan dalam surah al-Anbiyak ayat 35 yang bermaksud, 

“Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan hanya kepada kami, kamu dikembalikan. ”

Allah menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar. ”

Ujian yang berlaku adalah jalan bagi mencapai kemuncak nikmat dan kebahagiaan kepada sesiapa yang berjaya menggunakan kemampuan berfikir, berikhtiar menurut jalan Allah. Manusia sentiasa mengkaji dan mencipta sesuatu yang baru walaupun mengalami kepahitan dan kesukaran semasa menghasilkannya. Ciptaan dan kajian itu pula membawa hasil yang bermanfaat. Ini semua membawa kebaikan kepada manusia dan hakikatnya ciptaan Allah mempunyai hikmah yang tiada bandingannya. 

Tarbiyah ialah Mendidik dan Ta’dib ialah Mengajar

Allah bijaksana dalam mendidik manusia dan mengajar mereka. Kadang-kadang Allah mendidik dengan perkara-perkara nikmat dan kebaikan, kadang-kadang dengan bencana dan kejahatan yang berpunca daripada manusia itu sendiri. Mudah-mudahan mereka tidak berseronok dengan nikmat dan sedar apabila berhadapan dengan keburukan. Seperti yang berlaku dalam perang Badar dan Hunain. Allah menyatakan dalam surah Ali Imran ayat 123 yang bermaksud, 

“Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal ketiak itu kamu adalah orang-orang yang lemah, kerana itu, bertakwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya. ”

Allah menerangkan dalam surah at-Taubah ayat 25 yang bermaksud, 

“Sesungguhnya Allah menolong kamu di medan peperangan yang banyak dan ingat pada hari peperangan Hunain iaitu pada waktu kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlah kamu, jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikit pun dan bumi yang luas itu terasa sempit oleh kamu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. ”

Dalam dua keadaan itu, Allah mendidik generasi Islam yang pertama supaya menjadi contoh yang baik kepada orang-orang yang kemudian, walaupun Allah berkuasa mengurniakan keadaan yang selesa kepada merekASetiap kebaikan dan keburukan yang berlaku bertujuan mengajar dan mendidik manusia itu sendiri. 

Jaza’ Ma’jal ialah Balasan yang Segera

Kadang-kadang Allah memberikan balasan yang segera kepada manusia di atas dunia. Balasan itu sama ada berbentuk nikmat ataupun azab, baik ataupun jahat. Semuanya bertujuan menambahkan keimanan kepada Tuhan dan Hari Pembalasan. Tetapi kebanyakan manusia tidak menggunakan akal fikiran, malah tidak mengambil faedah daripada anugerah nikmat ataupun bencana yang menimpa mereka. 

Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. berkata sebagaimana direkodkan oleh Muslim, 

“Sungguh menghairankan, semua perkara yang menimpa orang-orang mukmin membawa kebaikan kepada mereka sendiri. Sekiranya mereka bergembira dan bersyukur, ia membawa kebaikan kepadanya dan sekiranya mereka mendapat kesusahan dan bersabar, ia juga membawa kebaikan kepadanya. ”

Orang yang beriman kepada qada’ dan qadar reda dengan segala yang berlaku, lalu dia mendapat petunjuk daripada Allah. Orang-orang yang tidak beriman kepada qada’ dan qadar, lupa dan lalai apabila diberi nikmat, menyalahkan Tuhan apabila berada dalam kejahatan dan kekufuran lalu dia memutuskan hubungan dengan Allah. Mereka menjadi manusia yang hanyut dan lalai tanpa mendapat hidayah Allah. Allah wajar menentukan hukuman di dunia dengan kesesatan dan hukuman neraka di hari akhirat kerana itu adalah apa yang dipilih oleh hamba itu. 

KESIMPULAN
Kesimpulannya, sesuatu perkara atau perbuatan yang sudah ditentukan dan ditetapkan Allah adalah secara mutlak mengikut peraturan dan ketetapan yang telah ditentukan Allah sendiri sebagai qada’ dan qadar-Nya. Kita mestilah mempercayai bahawa Allah berkuasa menentukan dan mengatur sesuatu yang ada di alam ini dengan kebijaksanaan dan kehendak-Nya sendiri tanpa diganggu oleh sesuatu kuasa asing. Selain itu, setiap perkara yang berlaku di alam ini adalah berjalan sesuai dengan ilmu dan iradat Allah yang telah direncanakan-Nya mengikut peraturan-peraturan yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah dalam alam yang maujud ini. Di samping itu, Allah Taala berhak memberi kemuliaan dan kehinaan dan juga memberi kemanfaatan atau kemudaratan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya mengikut qada’ dan qadar yang telah ditentukan dan ditetapkan-Nya. Kebaikan atau keburukan ke atas diri seseorang itu sebagai qada’ dan qadar Allah adalah dengan kehendak dan ketetapan Allah, kerana Allah berkuasa melakukan sesuatu perkara yang dipilih dan yang dikehendaki-Nya tanpa halangan. 

RUJUKAN
1. Abidin, D. Z. (2008). Minda Muslim Super. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn Bhd. 
2. Al-Jazairi, A. B. (1996). Pedoman Hidup Muslim. Kuala Lumpur: Victory Agencie. 
3. Awang, A. H. (2008). Beriman kepada Qadak & Qadar. Batu Caves: PTS Islamika. 
4. Ibrahim, H. S. (2001). Aqidah Ahli Sunnah Waljama'ah. Gombak: Darul Ma'rifah. 
5. Razak, N. (1982). Dienul Islam. Bandung: PT Alma'arif. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com