Tajuk: Azab Didalam Kubur Menurut Al-Qur’an Dan Al-Hadith

PENDAHULUAN

Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda

Perkataan azab bererti hukuman, seksaan, kesengsaraan atau kesusahan. Manakala perkataan kubur pula bermaksud tempat menanam mayat. Jika disebutkan perkuburan bermakna tanah lapang atau kawasan tempat menguburkan orang yang telah mati atau permakaman. Mayat sama ada ditanam, ditenggelamkan, terbakar jadi debu, atau dimakan binatang, mereka disebut berada di alam barzakh. Maka pengertian kubur yang dikaitkan dengan kesenangan atau azab ialah alam kubur yang berada di antara alam kehidupan dunia dengan alam akhirat iaitu alam barzakh

Barzakh bermaksud rintangan atau pemisahan. Alam barzakh ialah alam pertama daripada alam kekal yang kekal abadi di akhirat. Semua orang yang berada di dalam kubur dinamakan hidup di alam barzakh. Alam ini berada di antara mati dan bangkit daripada mati. Apabila berada didalam kubur, kita akan disoal oleh dua malaikat yang bernama Mungkar dan Nakir mengenai amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia. Allah Subhanahu wa ta’ala. berfirman, “…dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka di bangkitkan”

Mati adalah akhir perjalanan hidup setiap insan di dunia ini. Di penghujung jalan, se-tiap hidup yang berjiwa akan merasakan mati. Firman Allah, Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Ali Imran: 185). Mati adalah titik permulaan insan memasuki alam lain (alam lain dalam bahasa Arab di sebut Alam Akhirat). Alam Akhirat ini digelar juga Alam Balasan amalan seseorang semasa hidup di dunia. Amalan baik dibalas baik dan sebaliknya. 

AZAB KUBUR MENURUT AL-QUR’AN DAN AL-HADITH

Yang pertama kali mencipta kubur adalah burung gagak, iaitu ketika Qabil membunuh Habil. Allah Ta’ala berfirman, “Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak mengali-galidi bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil, ’Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini lalu aku dapat menguburkan mayat saudara aku ini. ’Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang yang menyesal. ” (Al-Maidah : 31)

Firman Allah, Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat kedustaan terhadap Allah atau yang berkata: "Telah diwahyukan kepada saya", padahal tidak ada diwahyukan sesuatupun kepadanya, dan orang yang berkata: "Saya akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah. " Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim berada dalam tekanan sakratul maut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya, (sambil berkata): "Keluarkanlah nyawamu" Di hari ini kamu dibalas dengan siksa yang sangat menghinakan, karena kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar dan (karena) kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayatNya. (Al-An'am:93). Di sini azab bermula dari saat kemati-an lagi, belum pun dikapankan dan dikebumikan. Ini adalah sebahagian daripada seksa yang berlaku sebelum kiamat. Ditambah dengan azab kubur kerana kebanyakan insan akan mengalaminya. 

Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman, Allah menneguhkan (iman) orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu ke dalam kehidupan di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang zalim dan memperbuat apa Dia yang dikehendaki. Didalam Shahihain diceritakan, dari Barra ibn Azid dari Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam. Bahawa ayat tersebut menyangkut seksa kubur. Muslim menambahkan, ”Si mayat ditanya : `Siapa tuhanmu?’ ia menjawab, `Tuhanku Allah, dan Nabiku Muhammad. ’ Itulah maksud dari firman Allah tersebut. ”. Dalam riwayat Bukhari, ”Jika seorang(hamba) mukmin dimaksudkan ke liang kubur lalu ditanya (oleh malaikat) kemudian bersaksi, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, Muhammad adalah utusan-Nya, maka itulah maksud firman Allah tersebut. ”. Thabrani menceritakan dari hadis Barra ibn Azid dari Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam. :”Orang kafir akan ditanya (oleh malaikat), ‘Siapa Tuhanmu ?’. ’Tidak tahu, ’jawabnya. Kemudian ia dipukul dengan tongkat kecil dari besi yang bisa menghancurkan sebuah gunung, yang pukulannya bisa didengar oleh semua makhluk kecuali jin dan manusia. Kemudian Rasulullah membaca ayat tersebut diatas. ”

Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman : Maka mengapa ketika nyawa sampai di kerongkongan, padahal kamu ketika itu melihat, dan Kami lebih dekat kepadanya dari pada kamu. Tetapi kamu tidak melihat, maka mengapa jika kamu tidak dikuasai (oleh Allah)?Kamu tidak mengembalikan nyawa itu (kepada tempatnya) jika kamu adalah orang-orang yang benar?adapun jika dia (orang yang mati) termasuk orang-orang yang didekatkan (kepada Allah), maka dia memperoleh ketenteraman dan rezki serta jannah kenikmatan. Dan adapun jika dia termasuk golongan kanan, maka keselamatanlah bagimu karena kamu dari golongan kanan. Dan adapun jika dia termasuk golongan yang mendustakan lagi sesat, maka dia mendapat hidangan air yang mendidih, dan dibakar di dalam jahannam. Sesungguhnya (yang disebutkan ini) adalah suatu keyakinan yang benar. 

Sebahagian daripada bentuk-bentuk azab seksaan kubur bagi orang-orang yang tidak beriman:
1. Memukul kepala mereka sendiri dengan batu
2. Memakai pakaian koyak-rabak dan makan umpama haiwan ternakan
3. Dihidang daging yang elok dan daging yang busuk tetapi mereka memilih daging yang busuk
4. Ahli kubur didedahkan kepada bahang api neraka setiap hari iaitu pada waktu pagi dan petang
5. Disediakan untuknya hamparan daripada api neraka
6. Kubur disempitkan hingga tulang-tulang rusuk saling bersilang
7. Ditemani seorang lelaki yang berwajah buruk dan berbau busuk
8. Didatangkan 99 ekor ular yang berbisa dan menggerunkan
Nikmat yang diperolehi bagi orang-orang yang beriman setelah mati 
1. Diluaskan kubur sehingga 70 hasta daripada segenap arah atau diluaskan sejauh mata memandang
2. Disediakan untuknya hamparan dari syurga
3. Dibukakan satu pintu pada kuburnya dari syurga
4. Kubur dipenuhi dengan bau-bauan yang wangi
5. Dijadikan kubur sebagai taman dari taman syurga
6. Diterangi kubur mereka dan ditemani oleh amalan-amalan kebaikan
. Riwayat daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, katanya:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui dua buah kubur. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba. Lalu Baginda mengambil pelepah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Baginda pacakkan ke atas setiap kubur tersebut. Mereka (sahabat-sahabat) bertanya: “Mengapa Tuan berbuat demikian? Baginda menjawab dan bersabda: “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-dua mayat ini selama mana kedua pelepah ini belum kering”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Firman Allah, Di antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu[657] itu, ada orang-orang munafik; dan (juga) di antara penduduk Madinah. Mereka keterlaluan dalam kemunafikannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka, (tetapi) Kamilah yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami siksa dua kali kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.. (At-Taubah: 101). Maksud seksa dua kali ialah pertama tembelang orang munafik dan kedua seksa kubur. Atau seksa dunia dan seksa kubur. Semestinya salah satu daripada dua seksa itu ialah seksa kubur. (Ibn Hajar, syarah bagi ayat tersebut, Fathul Bari, bab 86 Mengenai Azab Kubur, halaman 599 dan 601). Nanti akan Kami seksa mereka dua kali iaitu azab seksa di dunia dan azab seksa kubur. (Tafsir Ibn-Kathir bagi ayat ini). 

Firman Allah, Dan Firaun beserta kaumnya dikepung oleh azab yang amat sangat buruk. Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang (sebelum hari bangkit dari kubur), dan pada hari terjadinya Kiamat, dikatakan kepada malaikat: ``Masukkanlah Firaun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras. (Al-Mu'min: 45-46). 

Roh Firaun dan orang-orangnya dalam (tembolok) burung hitam berulang alik ke neraka, begitulah ardhuha (ditunjukkan). Ditunjukkan ini bermula dari dunia ini lagi sebelum Kiamat. Ditunjukkan ini di alam barzakh. Inilah hujah bagi orang yang mengatakan bahawa azab seksa kubur itu memang benar. (Ibn Hajar, syarah bagi ayat tersebut, Fathul Bari, bab 86 Mengenai Azab Kubur, halaman 599 dan 601). Dan pada hari terjadinya Kiamat, dikata kepada malaikat: ``Masukkanlah Firaun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras. '' Ayat ini merupakan dalil yang amat jelas bagi Ahli Sunah mengenai adanya seksa di alam barzakh dan dalam kubur. (Tafsir Ibn-Kathir bagi ayat ini). 

Sabda Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam. : Apabila seorang mukmin diletakkan dalam kuburnya, datanglah (malaikat-malaikat) kepadanya lalu dia mengucap bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Ini menepati firman Allah berbunyi Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu (kalimah tauhid dua kalimah syahadat tersebut). Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam. menyebut mengenai azab kubur dengan sabdanya, Apabila seseorang Muslim mengucap bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Firman Allah, Allah mengukuhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu (kalimah tauhid dua kalimah syahadat tersebut). 

Diturunkan ayat ini mengenai azab kubur. Mengenai seksa kubur ini ada ulama mengatakan seksa badan dan roh kedua-duanya sekali. Allah Maha Kuasa mengembalikan sebahagian daripada jasad yang berkecai itu dicantumkan semula dan mengembalikan nyawanya ke dalam jasadnya itu. Tidak kurang pula, termasuk Ibn Hazm dan Ibn Hubairah yang mengatakan seksa kubur adalah seksa roh sahaja tanpa ia kembali semula kepada badan. Bandingkan dengan orang bermimpi merasa selesa atau seksa, sedangkan orang-orang yang ada bersamanya tidak tahu satu apa pun apa yang berlaku pada diri si tidur yang bermimpi itu. 

Hadis Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam. : Rasulullah melihat mayat mereka yang dijatuhkan ke dalam perigi (sebuah perigi yang berisi dengan mayat-mayat orang musyrikin yang terbunuh dalam Perang Badar) seraya bersabda, Adakah kamu benar memperoleh apa yang Tuhan janjikan kepada kamu?'' Sahabat bertanya, ``Wahai Rasulullah, anda bercakap dengan orang-orang yang sudah mati. ''Jawab Rasulullah, ``Mereka lebih dengar daripada yang kalian dengar tetapi mereka tidak berdaya menjawabnyASesungguhnya si mati itu diseksa dalam kuburnya. ”

Sabda Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam. : Apabila seorang hamba Allah dikebumikan dan kawan-kawan meninggalkannya, si mati itu mendengar hentak kasut mereka, dua malaikat pun datang kepadanya lalu disuruh duduk dan ditanya, ``Apakah pendapat kamu terhadap lelaki bernama Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. ini?''Orang mukmin itu menjawab, ``Saya mengaku bahawa dia adalah hamba Allah lagi Rasul-Nya. ''Selepas itu malaikat itu berkata lagi, ``Lihatlah tempat kamu di dalam Neraka, sesungguhnya Allah telah menukarkan tempatmu di dalam Syurga. ''

Lalu orang yang dikebumikan itu melihat kedua-dua tempatnya itu. (Qatadah menambah, kami diberitahu bahawa kuburnya itu diperluaskan. Kemudian Qatadah menyebut riwayat Anas yang berkata:) Manakala orang munafik atau kafir akan ditanya, ``Apakah pendapat kamu terhadap lelaki bernama Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. ini?'' Dia akan menjawab, ``Saya tidak tahu. Saya kata menurut apa yang orang lain kata. '' Lalu ditanya lagi, ``Kamu tidak tahu dan kamu tidak mengikut petunjuknya (dengan membaca al-Quran). ''Selepas itu dia dipukul dengan tukul besi dengan satu pukulan yang menyebabkan dia menjerit-jerit. Semua mendengar jeritannya itu kecuali jin dan manusia. Hadis ini menceritakan bagaimana Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. dengan umatnya. Mereka diuji dalam kubur masing-masing. Ternyata bahawa setiap nabi itu bersama umat masing-masing. Hadis ini menunjukkan tidak boleh bertaklid dalam perkara iktikad. Perhatikan bunyi hadis tersebut di atas, ``Saya tidak tahu. Saya kata menurut apa yang orang lain kata. ''

Hadis Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam., Pada satu hari Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. keluar selepas matahari terbenam, lalu baginda mendengar suara yang mengerikan. Rasulullah pun bersabda, Itulah suara-suara Yahudi yang sedang diseksa dalam kubur mereka. 

`Mendengar suara' kemungkinan suara malaikat yang menyeksa, atau suara Yahudi yang diseksa atau suara seksaan itu sendiri. Kalau Yahudi diseksa dengan sebab keYahudiannya, orang musyrikin juga tiada terkecuali kerana kufur syirik lebih dahsyat daripada kufur Yahudi. 

Putri Khalid al-'Asi berkata bahawa dia mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. memohon mendapatkan perlindungan daripada seksaan kubur. Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. pernah berdoa kepada Allah yang bermaksud: Ya Allah, hamba mohon perlindungan-Mu daripada azab kubur, dan daripada azab Neraka, dan daripada kesengsaraan hidup dan mati, dan daripada kesengsaraan Al-Masih ad-Dajjal

Pada satu hari Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. melalui dua tanah perkuburan. ``Mereka (yang mati dikebumikan dalam dua tanah perkuburan itu) sedang diseksa. '' Mereka diseksa bukanlah kerana perkara besar. ``Ya, (mereka diseksa kerana melakukan satu dosa besar) iaitu kerana seorang daripada mereka sengaja mengumpat, menyebarkan fitnah dan yang satu lagi tiada mengelakkan dirinya daripada kekotoran kencingnya. '' (Ibn Abbas menambah): Kemudian Rasulullah mengambil sehelai daun hijau lalu dikoyak dua, lalu meletakkan sekeping ke atas kubur seraya bersabda, ``Moga-moga seksaan mereka berdua diringankan sehingga daun ini kering. ''Sebuah hadis mengenai azab atau nikmat kubur bermaksud: Kubur itu sama ada satu taman dari taman syurga atau satu rongga dari rongga neraka. Hadis ini boleh dirujuk kepada at-Tirmizi dan al-Baihaqi, tetapi sanadnya daif. Sungguhpun ia daif, tetapi maksudnya betul dan benar kerana disokong oleh hadis-hadis daripada kitab Sahih Bukhari seperti tersebut di atas. 

Daripada Zaid bin Sabit menceritakan ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melintasi beberapa kubur, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Siapa yang mengetahui mayat-mayat di kuburkan ini? Seorang Lelaki menjawab: “Saya”. Baginda bertanya: “Bilakah mereka mati? Lelaki itu menjawab: “Mereka mati ketika dalam kafir”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya umat ini akan dicuba di dalam kuburnya. Jika tidak kerana kamu tanamkan (mayat-mayat) ini nescaya aku memohon kepada Allah supaya kamu diperdengarkan daripada azab kubur sebagaimana aku dengar daripada kubur-kubur ini. Kemudian Baginda menghadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab neraka”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab api neraka”. Baginda bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab kubur”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab kubur”… (Hadis riwayat Muslim)

Riwayat daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila seseorang kamu meninggal dunia akan dibentangkan kepadanya tempat duduk pada waktu pagi dan petang. Sekiranya dia ahli syurga maka dia penghuni ahli syurga dan sekiranya dia ahli neraka maka dia adalah penghuni ahli neraka. Lalu dikatakan kepadanya: “Inilah tempat dudukmu sehingga Allah membangkitkan engkau semula di hari Kiamat” (Hadis riwayat Bukhari)

Manakala azab yang putus ialah seseorang yang diazab dengan api neraka pada suatu waktu yang ditentukan kemudian ia dikeluarkan semula daripada azab tersebut. Sebagai contoh seseorang yang diazab disebabkan dosanya kemudian ia dikeluarkan atau diringankan daripada azab tersebut disebabkan oleh doa, pahala sedekah, pahala haji atau pahala bacaan al-Qur’an yang sampai kepada si mati oleh sanak keluarga atau orang lain. Ini sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:Tafsirnya: “Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya”. (Surah al-Baqarah: 255)

Ibnu Abi ad-Dunia menyebutkan satu cerita Abdullah bin Nafi‘ katanya: “Telah mati seorang lelaki daripada orang Madinah lalu aku melihat dia seolah-olah sebagai ahli neraka dan dia sangat berdukacita kerana yang demikian itu. Kemudian selepas beberapa ketika aku melihatnya pula seolah-olah sebagai ahli syurga. Lalu aku bertanya: “Tidakkah engkau berkata bahawa engkau tergolong daripada ahli neraka”. Dia menjawab: “Sememangnya begitu (sebagaimana yang aku katakan kepadamu) kecuali setelah dikuburkan bersama-sama kami ini seorang yang salih dan kerananya telah mendapat syafaat seramai empat puluh orang di sekeliling kuburnya dan aku termasuk daripada mereka yang mendapat syafaat itu”

Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda: (Allah) akan memberi kuasa untuk menyeksa orang kafir di dalam kuburnya kepada 99 ekor ular yang akan mematuknya hingga berdirinya kiamat. Jika seekor saja dari ular itu meniupkan bisanya ke bumi, nescaya tidak akan ada tumbuhan hijau yang tumbuh (di atas muka bumi). (Hadis riwayat Imam Ahmad) 

Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada puteranya: Wahai anakku, bersegeralah kamu bertaubat, kerana maut itu datang secara tiba-tiba, dan apabila malaikat maut datang, dia tidak memberitahumu terlebih dulu. 

Pada satu hari Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. melalui dua tanah perkuburan. ``Mereka (yang mati dikebumikan dalam dua tanah perkuburan itu) sedang diseksa. '' Mereka diseksa bukanlah kerana perkara besar. ``Ya, (mereka diseksa kerana melakukan satu dosa besar) iaitu kerana seorang daripada mereka sengaja mengumpat, menyebarkan fitnah dan yang satu lagi tiada mengelakkan dirinya daripada kekotoran kencingnya. '' (Ibn Abbas menambah): Kemudian Rasulullah mengambil sehelai daun hijau lalu dikoyak dua, lalu meletakkan sekeping ke atas kubur seraya bersabda, ``Moga-moga seksaan mereka berdua diringankan sehingga daun ini kering. ''

Penutup
Berdasarkan fakta atau hujah daripada al-Qur’an, sunnah dan perkataan ulama adalah sabit wujudnya azab kubur. Al-Imam al-Qadi Ali bin Al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh al-Akidah at-Thahawiyah menyebutkan bahawa telah mutawatir segala hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada sabitnya azab kubur dan nikmatnya serta soal dua malaikat. Maka wajib beriktiqad akan sabitnya yang demikian dan beriman dengannya. Janganlah kita persoalkan atau bercakap mengenai kaifiyah (caranya) kerana akal tidak akan berhenti pada memikirkannya”. (Syarh al-Akidah at-Thahawiyah: 456)

Imam Abu Hanifah pula menyebutkan di dalam kitabnya al-Fiqh al-Akbar bahawa sempitnya kubur dan azab kubur itu adalah benar kepada mayat kafir sekaliannya dan sebahagian daripada yang derhaka daripada orang-orang yang beriman. (al-Fiqh al-Akbar:)

Maka ada pula dakwaan sesetengah penganut agama dan fahaman yang menyeleweng yang menyangka apabila jasad manusia dibakar dengan api sehingga menjadi abu atau ditenggelamkan ke dasar laut, jasad itu terlepas daripada azab barzakh iaitu azab kubur. Perkara ini telah disangkal dan ditolak oleh Al-Imam al-Qadi Ali bin Al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh al-Akidah at-Thahawiyah katanya:

“Dan ketahui olehmu bahawa azab kubur itu adalah azab barzakh. Maka sesiapa yang telah mati adalah berhak bagi azab yang tertentu ke atasnya sama ada dikuburkan atau tidak dikuburkan, yang memakan akan dia oleh binatang buas atau hangus terbakar sampai menjadi abu dan diterbangkan ke udara, atau disalib atau tenggelam di laut, nescaya sampailah kepada roh dan jasadnya daripada azab sebagaimana yang sampai kepada mayat yang dikuburkan”. (Syarh al-Akidah at-Thahawiyah: 457)

Dari hujjah dan keterangan ini, maka tertolaklah segala pendapat dan anggapan orang yang mengingkari azab kubur. 

Kesimpulan
ALAM barzakh adalah satu alam lain yang pasti akan ditempuh dan dihuni manusia selepas kehidupan dunia ini. Manusia tetap berada di alam barzakh sehinggalah kedatangan hari kiamat sebagai tanda berakhirnya dunia. 

Mukmin yang baik dan beramal soleh akan berada di alam barzakh dalam keadaan aman sentosa kerana memperoleh nikmat kubur hasil amalan kebaikan mereka semasa di dunia seperti solat, puasa, zakat, haji dan sedekah. 

Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda: Yang akan mengikuti mayat (semasa dihantar ke tanah perkuburan) tiga perkara (iaitu): kaum keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua perkara akan pulang (kembali ke rumah) iaitu keluarga dan hartASatu (saja) yang tinggal (yang ikut bersamanya ke alam barzakh) iaitu amalannya. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim) 

Merenung sabda Baginda Sallallahu ‘alaih wa sallam itu menjadikan kita insaf bahawa nikmat kehidupan ini terlalu mahal harganya. Manusia hanya bernilai di sisi Allah jika keseluruhan kehidupannya diisi ibadah dan amal soleh kerana hanya amal soleh bekalan terbaik menghadap Allah nanti. 

Setiap detik dan masa berlalu itu sebenarnya adalah umur kita. Bermakna dari hari ke hari, umur semakin berkurang dan ajal semakin mendekat, sedangkan kematian itu berlaku tepat pada masanya, tidak kira tua atau muda, tidak kira dalam keadaan sihat atau sakit. 

RUJUKAN
1. Ibn Rajab Al – Hanbali (2002). Jeritan Kubur (559 Riwayat Pilihan). Jakarta. PT SERAMBI ILMU SEMESTA
2. M. Abdul Malik Az-Zaghabi (2003). 82 Pertanyaan Tentang Alam Kubur. PUSTAKA AL-KAUTSAR. Maktabah Al-Iman, Manshurah, Mesir. 
3. Abu Bakar Ahmad Bin Husain Ai-Baihaqi(2009). Ketetapan Seksa Kubur. Percetakan Impian Sdn. Bhd. Perniagaan JahaBersa. 
4. Sayid Qutud (1986). Hari Akhir Menurut Qur’an. Kotak pos 148 JAT, Jakarta 13001. Pustaka Firdaus
5. Dr. Ali Muhammad (1999). Alam Barzakh. P. O Box 7001 JATPB 13070. Pt Serambi Ilmu Semesta. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com