Tajuk : Amalan-Amalan Pada Bulan Ramadhan

PENDAHULUAN 
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia dimana di dalamnya terdapat malam Lailatulqadar. Pada malam ini amalan yang dilakukan adalah lebih baik dari amalan selama seribu bulan. Pada bulan Ramadhan pintu-pintu neraka tertutup rapat dan dibuka pintu syurga seluas-luasnya. Bulan ini merupakan bulan yang terbaik untuk beramal dan melakukan ibadah. Terdapat pelbagai amalan yang menjadi rebutan oleh orang mukmin untuk dilakukan pada bulan ini. Ganjaran melakukannya pula adalah berlipat ganda. Bulan ini amat ditunggu-tunggu oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam dan para sahabatnya. 

AMALAN-AMALAN PADA BULAN RAMADHAN. 
Ramadhan merupakan bulan beramal ibadah yang paling ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Terdapat pelbagai amalan yang boleh dilakukan pada bulan ini. Antaranya amalan yang wajib ialah berpuasa. Puasa merupakan ibadah dimana seseorang perlu melawan hawa nafsu serta menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Amalan ini adalah waiib dilakukan oleh semua umat Islam pada bulan Ramadhan. 

Firman Allah: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (QS. Al-Baqarah:183)

Pada bulan ini, kita hendaklah berusaha melengkapkan dan menyempurnakan amalan-amalan wajib iaitu, solat fardhu. Tiada gunanya seseorang itu berpuasa jika dia tidak menunaikan amalan wajib, puasanya tidak akan diterima oleh Allah. Kita juga perlulah solat diawal waktu, perbuatan melambat-lambatkan solat akan mengurangkan pahala puasa kita solat juga perlu dilakukan dengan khusyuk dan tertib mengikut rukun solat. 

Terdapat beberapa adab untuk menyambut Ramadhan, antaranya ialah mengucapkan selamat datang kepada bulan barakah ini. Selain itu, kita hendaklah memperbetulkan niat puasa. Kita hendaklah berpuasa untuk menggapai ketakwaan dan keredhaan Allah. Puasa perlulah dilakukan dengan ikhlas dan jujur. Kita perlulah menjaga percakapan dan berusaha mengubah diri kepada insan yang lebih baik. 

Seterusnya ialah memperbanyakkan solat-solat sunat. Antara solat-solat sunat yang boleh diamalkan ialah solat sunat hajat, solat sunat tarawih, solat sunat witir, solat sunat tasbih dan solat sunat tahjjud. Solat sunat mempunyai pelbagai kebaikan dan dilakukan untuk menampung kesalahan-kesalan atau kekurangan solat-solat fardhu. Solat sunat boleh dilakukan dalam rakaat yang genap kecuali solat sunat witir. 

Solat sunat Tarawih ialah solat sunat khas dilakukan hanya pada bulan Ramadhan. Solat sunat ini boleh dilakukan secara berjemaah atau berseorangan. Solat sunat tarawih boleh dilakukan dalam rakaat yang genap sehinggalah 22 rakaat. Lazimnya, kebanyakan surau dan masjid akan melakukan solat sunat ini diikuti dengan solat sunat witir. Solat sunat terawih merupakan amalan yang popular pada bulan ini. 

Selain itu, bersedekah juga merupakan salah satu amalan yang patut diamalkan pada bulan ini. Sedekah, tidak mengira dari segi wang tunai, harta, makanan, mahupun senyuman juga akan mendapat ganjaran yang berlipat gandASedekah juga akan membantu ketika di alam barzakh yang akan ditemui kelak. Pabila bersekah hendaklah diutamakan mereka yang miskin dan memerlukan. 

Zikir merupakan salah satu cara yang baik untuk mendekatkan diri kepada Allah dan membersihkan hati. Mereka yang selalu berzikir akan mempunyai hati yang lembut dan mudah untuk mendapat rahmat dan hidayah Allah. Terdapat pelbagai zikir yang boleh diamalkan, malah zikir kini terdapat dalam bentuk nasyid. Zikir mampu menenangkan hati dan membersihkan jiwa. 

Pada bulan ini juga kita hendaklah banyak berselawat ke atas nabi. Selawat adalah salah satu tanda kasih dan sayang kita kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. Mereka yang melazimi selawat bakal mendapat syafaat Rasulullah di akhirat kelak. Kita juga perlu berselawat apabila mendegar nama Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam sebagai tanda hormat dan kasih pada beliau. Selawat mudah dilakukan tetapi ganjaranya amatlah lumayan di akhirat kelak. 

Bagi yang mampu, disunatkan mengerjakan umrah pada bulan mulia ini. Betapa indahnya dapat beribadah pada malam Ramadhan di Masjidil Haram. Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam pernah bersabda “Sesungguhnya mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan, mengimbangi satu haji atau suatu haji bersamaku”. Oleh itu wajarlah pada mereka yang mampu untuk mengerjakan umrah pada bulan ini untuk mencari keredhaan Allah. 

Kita juga perlu banyak mengaji dan membaca Al-Quran. Ganjaran membacanya adalah sepuluh kali ganda. Al-Quran merupakan asas ajaran Islam dan hendaklah kita sentiasa cuba memahami terjemahanya dan mengamalkan amalan yang terdapat didalamnya. Al-Quran merupakan kata-kata Allah yang tidak boleh ditambah atau dipertikaikan. Tilawah Al-Quran merupakan cara yang terbaik untuk memupuk amalan ini. 

Firman Allah: (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). (QS: al-Baqarah:185)

Pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan akan berlakunya malam Lailatulqadar pada malam yang ganjil. Ketika ini digalakkan kita bangun pada malam hari untuk menunaikan Qiamullail. Perbuatan ini di ertikan sebagai bangun pada malam hari untuk mendekatkan diri dan mengingati Allah. Hanya mereka yang terpilih sahaja akan merasai malam istimewa yang lebih baik dari seribu bulan ini. Untuk mengejar malam Laiatulqadar ini, kita hendaklah sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadah. 

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam : "Dan barangsiapa yang beribadah pada malam Lailatul qadarsemata-mata kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. " HR. al-Bukhari 

Adab dan kelakuan penting dalam mencerminkan tahap keimanan seseorang. Oleh itu sentiasalah menjaga adab dibulan ini. Kita hendaklah mengawal diri dari bersangka buruk terhadap orang lain dan dari mengumpat dan memfitnah. Fitnah merupakan perbuatan yang dibenci Allah dan dosanya lebih besar dari membunuh. Mereka yang melakukannya akan mendapat balasan yang buruk diakhirat kelak. 

Malam-malam bulan ini juga digalakkan untuk berikhtikaf. Ikhtikaf bermaksud berdiam diri atau mengasingkan diri dari kehidupan dunia untuk beribadah kepada Allah. Amalan ini disukai oleh Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah "Sesungguhnya Nabi selalu ikhtikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan sampai meninggal dunia, kemudian isteri-isteri beliau berikhtikaf sesudah beliau". Kita boleh berikhtikaf di masjid atau surau mahupun di dalam bilik. 

Bulan ini merupakan bulan dimana doa senang diterima dan dimakbulkan Allah. Oleh itu kita hendaklah memperbanyakkan doa kepadaNya. Terdapat doa-doa khusus yang boleh diamalkan. Selain itu, kita juga bebas untuk meminta apa sahaja yang terlintas di hati dengan niat yang baik. Doa amatlah mustajab pada malam Lailatulqadar, tetapi bukan semua bertuah untuk merasainya, maka sentiasalah beristiqamah dalam beribadah agar mendapat nikmat ini. 

Selain daripada itu, kita perlulah sentiasa mengingati mati.. Menziarahi kubur merupakan salah satu cara untuk mengingati mati. Pada bulan Ramadhan, roh-roh mereka yang telah meninggal dunia dibebaskan. Mereka bebas berjalan dan pulang ke rumah anggota keluarga mereka. Kita yang masih hidup wajarlah menyedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan mereka. 

Amalan-amalan diatas hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana Allah. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam : "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para setan diikat; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa yang tidak memperoleh kebaikannya, maka ia tidak memperoleh apa-apa. " HR. Ahmad dan an-Nasa`i. 

Oleh itu kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah untuk berjaya di dunia dan akhirat. 

Penutup 
Kita sebagai umat Islam perlulah memanfaatkan bulan Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Bulan ini merupakan bulan yang mulia dan yang terbaik untuk beramal ibadah. Kita hendaklah sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadah dan melakukanya dengan bersungguh-sungguh serta ikhlas. Mereka yang rugi adalah mereka yang tidak mengambil peluang memperbaiki diri dan beramal di bulan ini. Ramadhan hanya tiba sekali setahun maka hendaklah kita mengisi Ramadhan dengan amal yang berguna agar kita Berjaya dan mendapat rahmat Allah di dunia dan akhirat. InshaAllah. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com